KP Kelantan sahkan seorang OKT meninggal di lokap balai

Oleh – Syeikh Baran

KP Kelantan sahkan seorang OKT meninggal di lokap balai

Polis Kelantan mengesahkan seorang lelaki iaitu orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, meninggal dunia pada 7.40 pagi, hari ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.

“Lelaki ini telah ditangkap pada 12.30 tengah hari, 26 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada 9.14 pagi, 27 Disember, OKT dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi permohonan reman dan dibenarkan reman selama empat hari bermula 27 Disember hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 7 pagi hari ini, anggota yang bertugas di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada 7.40 pagi.

Mohd Yusoff berkata kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan lanjut masih diteruskan sehingga menerima laporan bedah siasat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker