Masuk jel angkara ‘Aku tidak puas hati selagi kau masih hidup’
Oleh – Syeikh Baran
Padah memukul dan mengugut mahu membunuh teman wanita demi mendapatkan wang, seorang lelaki dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri menjatuhkan hukuman itu selepas Sharezuan Zaini, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan berkata, ‘Aku tak akan puas hati selagi kau masih hidup’ terhadap mangsa berusia 40 tahun dengan niat hendak mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh juga didapati memukul mangsa di beberapa bahagian badan sehingga bengkak dan cedera.
Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan dia kerap dipukul oleh tertuduh dan pada hari kejadian, lelaki itu melakukan ugutan bunuh sebanyak enam kali selain memukulnya di badan kerana mahukan wang.
Nor Syaliati kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan untuk pertuduhan kedua. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 8 November lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.