Dua bapa ayam tumpas, 10 pelacur warga asing ditahan
Oleh – Syeikh Baran
Kegiatan dua lelaki tempatan menguruskan sindiket pelacuran wanita warga asing terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Taman Serdang Perdana, di sini, malam tadi.
Serbuan Op Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor itu dijalankan pada pukul 10 malam selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan itu turut menahan 10 wanita warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Thailand, serta tiga lelaki warga India yang sedang mendapatkan perkhidmatan di premis berkenaan.
“Selain itu, dua lelaki tempatan masing-masing berumur 60 dan 45 tahun ditahan kerana disyaki sebagai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Khairrul, modus operandi sindiket tersebut adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan yang terdiri daripada warga asing di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, pasukan operasi juga merampas televisyen litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigersen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘bapa ayam’ dan pelindung telah ditahan di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tegas beliau, orang ramai diingatkan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran
2007 (ATIPSOM).
Sumber – KOSMO! ONLINE.