Sindiket jual MC palsu tumpas
Oleh – Syeikh Baran
Kegiatan sekumpulan individu yang aktif melakukan bisnes menjual sijil cuti sakit palsu tumpas apabila enam suspek diberkas menerusi beberapa serbuan berasingan di Iskandar Puteri, Plentong, Skudai dan Masai di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 31 tahun.
Menurut beliau, operasi terhadap sindiket itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun pada 17 Oktober lalu.
“Dalam operasi tersebut, polis merampas 1,363 sijil cuti sakit disyaki palsu, tujuh kad bank pelbagai jenis, tujuh telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Yamaha dan wang tunai berjumlah RM40,000.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menjual sijil cuti sakit kepada golongan pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar daerah ini,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, semua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru bermula 21 Oktober lalu dengan dua daripada mereka telah dituduh di mahkamah sama, Khamis lalu.
You must be logged in to post a comment.