910 premis makanan kotor diarah tutup – KKM
Oleh – Syeikh Baran
Sejumlah 910 daripada 63,784 premis makanan yang diperiksa di seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan (KKM) diarahkan tutup ekoran kotor sepanjang penguatkuasaan sehingga Jun lalu.
KKM dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah pemeriksaan berkenaan, sebanyak 16,415 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dikeluarkan dalam tempoh itu.
Jelas KKM, sejumlah 84.7 peratus atau 79,818 pengendali makanan telah mendapat suntikan antitifoid berbanding 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara.
“Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan berkaitan.
“Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya hari ini.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan isu berkaitan amalan pengendalian makanan yang tidak baik oleh pengendalinya seperti meludah ke dalam makanan dan tidak mendapatkan suntikan antitifoid.
KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin menegaskan bahawa, tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari.
Ia di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 di mana individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE