[VIDEO] ‘Sampai hati mereka buat ayah macam itu, harap dapat balasan setimpal’
Oleh – Syeikh Baran
“Ini kali pertama saya tengok (tertuduh) tapi tidak nampak muka. Saya sangat sedih sebab sampai hati mereka buat ayah saya macam itu, harap mereka dapat balasan setimpal.”
Demikian kata Suraiya Izzaty Sabari, 29, anak sulung pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, dalam keadaan sebak dan menahan kesedihan ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Katanya, dia berharap agar arwah bapanya mendapat keadilan dan kes tersebut menjadi pengajaran kepada semua orang.
Menurutnya, dia dan dua adiknya, Nur Aina Sofiya, 28, serta Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, tidak henti berdoa agar jasad bapa mereka yang dicampak ke dalam Sungai Padang, Terap di sini dapat ditemui.
“Kami setiap hari berdoa semoga kita jumpa jasad dia (bapa) dan kes ini menjadi lebih mudahlah,” jelasnya.
Tambahnya, dia akan mengikuti perbicaraan kes itu sekiranya berkesempatan.
“Hari ini pun saya datang (mahkamah) untuk adik-adik saya,” katanya.
Sementara itu, Suraiya Izzaty tidak mengikuti prosiding pertuduhan tersebut di dalam kamar mahkamah, namun menanti dua tertuduh keluar dari bangunan mahkamah.
Suraiya Izzaty hadir bersama ibu dan bapa saudaranya serta peguam pemerhati keluarga, Syuhada Mohd. Soberi.
Dia dilihat menahan sebak dan menangis ketika dua tertuduh itu tiba di pekarangan mahkamah untuk pertuduhan.
Terdahulu, seorang kontraktor dan anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Sabari pada bulan lalu.
Tertuduh, Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, pekerja kilang mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Mereka dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki terbabit didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.