Polis lepas 7 tembakan, buru 4 lelaki rempuh kenderaan polis

Oleh – Syeikh Baran

Polis lepas 7 tembakan, buru 4 lelaki rempuh kenderaan polis

Polis melepaskan tujuh tembakan ke arah sebuah pikap yang merempuh kenderaan pasukan keselamatan itu di Serendah, di sini, awal pagi semalam.



Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata kejadian jam 2.41 pagi itu berlaku ketika pegawai polis Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengejar Mitsubishi Triton berwarna hitam yang mencurigakan.

“Ketika polis mahu menahan, kenderaan itu bertindak merempuh kenderaan polis sehingga boleh membahayakan nyawa anggota.

“Polis kemudian melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek. Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek yang terlibat adalah empat lelaki warga tempatan yang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.



Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui peralatan pecah rumah seperti parang, kuku kambing, sabit, tukul besi dan pemutar skru.

“Ketika ini polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli di talian 03-60641223 atau IPD Hulu Selangor (03-60651021) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker