Sidang Dewan Rakyat lewat setengah jam ramai Ahli Parlimen sangkut banjir

Oleh – Syeikh Baran

Sidang Dewan Rakyat lewat setengah jam ramai Ahli Parlimen sangkut banjir

Kejadian banjir kilat akibat taburan hujan luar biasa di ibu negara pagi ini turut memberi kesan kepada perjalanan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat yang sepatutnya bersidang bermula pukul 10 pagi terpaksa ditangguhkan setengah jam lewat disebabkan ramai Ahli Parlimen terperangkap di jalan raya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat sehingga pukul 10.30 pagi.

“Hujan terlalu lebat dan beberapa jalan dinaiki banjir. Ramai di antara Yang Berhormat terperangkap dalam banjir tersebut.

‘Oleh demikian saya ingin menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat hingga pukul 10.30 pagi,” kata Johari.

Kosmo! Online melaporkan, taburan hujan yang sangat tinggi melebihi purata, 60 milimeter (mm) per jam menyebabkan berlakunya banjir kilat di sekitar ibu negara, hari ini.

Rekod bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114mm per jam pagi tadi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekorang limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Menurut DBKL, setakat pukul 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat yang ditutup satu hala.

Jelas kenyataan itu, dua buah pam statik diaktifkan di Jalan Sultan Azlan Shah dan tiga lagi pam mudah alih untuk lokasi di sekitar Bulatan Dato Onn bagi menyedut air yang bertakung.

“Kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai dilaksanakan oleh DBKL manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan Sultan masih dijalankan.

“Berdasarkan tindakan proaktif yang telah diambil DBKL, majoriti kawasan yang terlibat dapat dikawal dan air yang bertakung telah surut dalam tempoh 30 minit,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker