Nahas UiTM Dungun: ‘Sahabatku, selamat jalan ke rumah abadi’

Oleh – Syeikh Baran

Nahas UiTM Dungun: ‘Sahabatku, selamat jalan ke rumah abadi’

Sahabat kepada Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, salah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam nahas malam tadi tidak menyangka video dirakam empat hari lepas merupakan kenangan terakhir mereka bersama.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, Khairil Anwar antara tiga penuntut meninggal dunia setelah motosikal dinaiki dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan kampus UiTM Dungun di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu.

Menerusi satu hantaran dimuat naik lelaki dikenali Ket di TikTok, dia meluahkan rasa kehilangan insan yang amat rapat dengannya dan menceritakan bagaimana tuhan telah menggerakkan hati mereka untuk merakam video bersama.

“Tuhan telah detikkan hati untuk kita buat video ini bersama empat hari lepas. Kini sahabatku telah tiada lagi di dunia,” tulisnya.

Dia juga mengimbau kenangan indah bersama Allahyarham yang sering menghiburkan dengan jenaka dan gelak tawa.

“Allah sudah menghantarkan seorang insan yang sangat ceria kepadaku dua semester lepas. Satu kisah yang sangat manis bila dikenangan semula.

“Tapi perancangan Allah itu memang hebat. Allah telah mengambil seorang insan yang aku sentiasa menanti jenaka dan tawa lucunya,” katanya.

Dia menganggap pemergian Khairil sebagai satu ujian berat buat dirinya serta keluarga dan sahabat-sahabat arwah yang lain.

“Tiada kata lagi yang mampu aku katakan kepadamu sahabat. Terima kasih Ya Allah kerana telah pertemukan aku dengan hambamu yang periang ini. Selamat jalan ke rumah abadi,” tulisnya.

Sementara itu, dia turut memohon agar orang ramai menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah dan rakan-rakannya yang turut terlibat dalam tragedi tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker