[VIDEO] ‘Terkantoi’ tak jadi curi bateri kereta
Oleh – Syeikh Baran
Cubaan seorang lelaki didakwa mahu mencuri bateri sebuah kereta Proton Iswara tidak kesampaian apabila dia ditegur seorang penduduk, dalam kejadian dipercayai berlaku di Meru Heights, Ipoh, Perak.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok Imika Malaysia, kelihatan Proton Iswara berwarna merah diletakkan di tepi jalan dalam kawasan perumahan tersebut.
Dalam masa sama, seorang lelaki memakai topi keledar membuka bonet kereta dan sedang menggunakan alat dikatakan mahu mengambil bateri kereta.
Bagaimanapun, individu itu membatalkan niatnya selepas ‘terkantoi’ dengan pengguna TikTok tersebut yang menegurnya dari atas balkoni rumah.
“Repair (baiki) apa bang? Motosikal tadi siapa tu, nampak nombor plat tu bang. Tak ada eh, boleh ye. Macam-macam hal sekarang. Tu dia tadi percubaan curi bateri, kawan dia tunggu hujung sana. Jangan buat macam ni ye, nasib baik,” katanya.
Lelaki itu kemudian menutup bonet kereta dan menjawab pertanyaan itu seperti tidak acuh, serta pergi ke arah seorang lagi lelaki yang menaiki motosikal sedang menunggu di hujung jalan.
Video tersebut tular dan mendapat pelbagai maklum balas, malah ada yang berkongsi pengalaman bateri kenderaan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Proton Wira suami saya dua kali hilang bateri. Proton Saga yang lama pula, dengan kereta hilang terus,” kata seorang pengguna TikTok.
“Tak padan dengan penat lelah, harga bateri kereta berapa lah sangat nak beli beras 5kg pun tak lepas,” ujar individu lain.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.