‘Rider’ belasah polis di tengah jalan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penunggang e-hailing menyerang seorang anggota polis dan merosakkan keretanya selepas menuduh mangsa menjadi punca kemalangan jalan raya, lapor laman berita Thaiger.
Penunggang motosikal berusia 28 tahun dikenali sebagai Sahaphap itu menyerang Korporal Wirodom Najaiboon pada 3 Oktober lalu di Bangkok.
Sebelum serangan berlaku, Wirodom berkata, dia memandu kereta sambil mengiringi beberapa buah bas sekolah yang baru pulang dari sebuah kem.
Setibanya mereka di sebatang jalan, Wirodom menutup lorong kiri bagi memberi laluan kepada bas-bas tersebut.
Ujarnya, beberapa buah kenderaan berhenti di belakang keretanya namun, Sahaphap yang ketika itu memecut laju, gagal memberhentikan motosikalnya.
Lelaki itu melanggar beberapa kenderaan lain yang berhenti.
Selepas kemalangan berlaku, Sahaphap mengekori Wirodom sebelum mengarahkan dia untuk memberhentikan keretanya.
Dia kemudian merosakkan kereta Wirodom, membelasahnya dan menuduh anggota polis tersebut menjadi punca kemalangan yang berlaku.
Wirodom bagaimanapun kekal bertenang dan tidak membalas serangan Sahaphap. Dia sebaliknya menyuruh lelaki itu membuat laporan polis bagi menentukan pihak yang bersalah.
Sahaphap bagaimanapun berkata, dia bersedia meminta maaf kepada Wirodom dan membayar pampasan atas kecederaan anggota polis berkenaan jika mangsa mengakui kesalahannya dan membayar ganti rugi.
Sementara itu, pegawai di Balai Polis Mueang Nonthaburi sedang menyiasat kes tersebut dan menyemak rakaman kamera keselamatan di tempat kejadian. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.