Hukuman 6 bekas penuntut UPNM ditukar kepada gantung sampai mati

Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mendapati enam bekas pelajar itu bersalah atas tuduhan membunuh, dan mengketepikan sabitan awal mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Panel yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail mendapati hukuman 18 tahun yang dijatuhkan ke atas mereka tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan oleh mereka.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat kecederaan daripada  90 tekapan seterika wap yang menyebabkan kira-kira 80 peratus badannya melecur.

Remaja berusia 21 tahun itu didakwa diserang kerana enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar itu, di asrama universiti awam tersebut di Kuala Lumpur.

Mereka yang dituduh itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Ketika membacakan penghakiman selama lebih tiga jam, Hadhariah berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati mereka hanya bersalah dalam menyebabkan kematian.

Sebaliknya, menurutmya, kecederaan parah di seluruh badan si mati menunjukkan niat membunuh di pihak keenam-enam bekas pelajar itu.

Hadhariah berkata, keenam-enam mereka kemudian bergilir-gilir menekap seterika wap panas berulang kali pada bahagian belakang, depan dan kemaluan si mati.

Dia berkata mereka mempunyai niat jahat dan tidak berperikemanusiaan serta tidak mempunyai belas kasihan terhadap rakan pelajar mereka itu.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja mengejutkan hati nurani badan kehakiman tetapi juga menyentuh hati nurani kolektif masyarakat.

“Ibu bapa mana yang tidak kecewa dan sedih apabila jenazah anak mereka diserahkan kepada mereka (dalam keadaan parah) untuk dikebumikan?

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur dan luluhnya perasaan mereka apabila melihat apa yang menimpa anak mereka..

“Justeru, mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini,” kata Hadhariah yang bercakap bagi pihak hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin.

Dia kemudian mengarahkan kesemua enam bekas pelajar itu supaya berdiri di kandang tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman mati.

“Kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan kepada keenam-enam tertuduh di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justeru, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata hakim itu.

Di luar mahkamah rayuan hari ini, ibu bapa Zulfarhan dilihat bersujud di lantai, sambil bersyukur kepada Allah atas keputusan itu.

Sebaik selesai prosiding selama lebih tiga jam itu, Zulkarnain Idros, 59, dan Hawa Osman, 60, terus keluar dari mahkamah dan melakukan sujud syukur.

Sambil menangis, mereka kelihatan menadah tangan syukur kerana apa yang diimpikan selama ini supaya mendapat pembalasan setimpal akhir tercapai.

“Keadilan terhadap anak saya kini terbela, kami bersyukur kepadaMu ya Allah,” jerit Hawa.

Ketika ditemui media, peguam Amer Hamzah Arshad dan Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili beberapa tertuduh, berkata mereka akan merayu di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hakim Hadhariah dalam keputusan sebulat suara berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Hakim Hadhariah di dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan si mati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya dan Abdul Hakeem pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.

“Oleh itu kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan kepada keenam-enam tertuduh di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justeru itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikan hukuman itu dengan penjara empat tahun.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Abby Abadi dah macam anak dara

‘Hari-hari adik menangis’ – Abang isteri suspek

Intan Najuwa bertambah cantik ketika hamil

Tolak jawatan SUA Bersatu, nak jawatan timbalan presiden?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker