Asma Abu Bakar, wanita hebat yang wajar dikenali
Asma Abu Bakar, wanita hebat yang wajar dikenali
Asma’ Abu Bakar adalah salah seorang srikandi Islam yang mulia, hebat dan memiliki pakej lengkap sebagai muslimah contoh kepada seluruh umat manusia. Beliau sekeluarga adalah antara yang terawal memeluk Islam dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.
Beliau adalah puteri kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq iaitu antara golongan bangsawan yang dihormati di Kota Mekah dan juga merupakan sahabat sejati Rasulullah s.a.w. Walaupun lahir dari keluarga yang dihormati dan kaya raya, namun Asma’ telah memilih Zubair bin Awwam seorang pemuda miskin yang tidak memiliki apa pun kecuali seekor kuda sebagai pemilik tunggal hatinya
Biarpun terpaksa meninggalkan kemewahan, Asma’ tetap menerima kehadiran suaminya dengan seadanya. Wanita ini amat menghormati lelaki itu serta sentiasa sabar menghadapi dugaan yang menimpa mereka. Beliau tidak pernah merungut walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan
Sewaktu ketiadaan Zubair yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w. beliau sanggup menumbuk biji kurma untuk merawat kuda kesayangan suami. Setelah anaknya Abdullah bin Zubair lahir, Asma’ mendidik puteranya dengan penuh kasih sayang dan menanamkan sifat cintakan Allah dan Rasul lebih dari segalanya, hingga Abdullah membesar menjadi salah seorang pejuang Islam yang hebat dalam sejarah.
Asma’ juga sangat terkenal sebagai muslimah yang cerdik, bijak, berani, aktif dan pemurah. Kedudukannya begitu tinggi, mulia dan terpuji. Kebijaksanaannya berfikir begitu terserlah, disulami sikapnya yang sangat prihatin.
Sewaktu berhijrah ke Madinah, ayahandanya tidak meninggalkan sedikit pun harta kerana semua wang dibelanjakan untuk perjuangan Islam.
Suatu hari datuknya Abu Quhafah yang masih belum memeluk Islam berkata,
“Demi Allah, ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya disamping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya”
Lalu Asma’ menjawab dengan tenang,
“Tidak benar sama sekali wahai datuk! Beliau banyak meninggalkan wang untuk kami”
Kemudian dikumpulnya batu-batu kerikil kemudian dimasukkan ke dalam tempat khas yang biasa digunakan untuk menyimpan wang.
“Lihatlah datuk, ayah meninggalkan wang yang banyak untuk kami”
Ternyata kebijaksanaan Asma’ berjaya meyakinkan datuknya agar tidak susah hati memikirkan keadaan mereka sekeluarga. Malah beliau juga tidak mengharapkan bantuan daripada orang musyrikin walau datuknya sendiri.
Pengorbanan yang luhur
Satu lagi peristiwa yang menjadi saksi kehebatan wanita ini ialah sewaktu peristiwa hijrah. Pengorbanan yang ditunjukkan tiada tolok bandingnya sehingga Rasulullah s.a.w. memberi julukan “dzatun nithaqain” yang beerti wanita yang mempunyai dua tali pinggang.
Tatkala kaum musyrikin berusaha mencari Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar yang telah berjaya meloloskan diri daripada kepungan kaum Quraisy dan bersembunyi di gua Tsur, Asma’ bersusah payah menyediakan bekalan makan dan minum buat mereka berdua.
Pengorbanannya tidak berakhir di situ. Peristiwa hijrah turut menjadi saksi kepintaran dan kebijaksanaannya tanpa menggugat keimanan dan ketakwaannya kepada Allah. Andai silap perhitungan, bukan sahaja nyawanya yang terancam tetapi juga nyawa Rasulullah s.a.w dan ayahanda kesayangannya.
Dalam keadaan yang sarat mengandung beliau rela mempertaruhkan jiwa dan raganya demi agama yang mulia. Saban hari dia berjalan sejauh empat kilometer kemudian mendaki bukit Jabal Tsur untuk menghantar makanan buat Rasulullah s.a.w. dan ayahandanya.
Demi mengelakkan diri daripada dikesan oleh musuh Islam, wanita ini berpura-pura menjadi pengembala kambing. Tindakan berani ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki. Malah anak yang budiman ini sanggup mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua bahagian untuk dijadikan tali pengikat bekalan makanan dan minuman.
Dan kerana itulah Baginda s.a.w. berdoa agar tali pinggangnya itu digantikan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.
Bagi sesiapa yang pernah ke Mekah dan mendaki Jabal Tsur, pasti mengetahui betapa perit dan payahnya mendaki bukit tersebut hingga ke gua tempat persembunyian Baginda s.a.w. dan Abu Bakar r.a. Sedang orang biasa pun sudah separuh nyawa mendaki, apalagi seorang wanita yang ketika itu sarat mengandung. Subhanallah, hebatnya Asma’
Istimewanya wanita ini
Selain itu antara keistimewaan Asma’ yang jarang dimiliki oleh wanita lain ialah kemampuannya meramal perkara yang bakal berlaku dan ketajaman akalnya dalam membuat perhitungan di saat genting. Setelah ayahandanya dan Rasulullah s.a.w. berjaya keluar dari tempat persembunyian, Asma’ dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy.
Antaranya adalah Abu Jahal yang telah bertindak kasar dengan menampar pipi wanita ini sehingga subang yang dipakainya jatuh terpelanting semata-mata mencari jawapan ke mana hilangnya Abu Bakar r.a. dan Muhammad s.a.w. Saat ditanya tentang tempat persembunyian kedua-duanya, Asma’ menjawab dengan penuh berhemah tetapi tegas bahawa beliau tidak tahu.
Tidak lama selepas peristiwa itu, beliau dan suami menjejaki sahabat yang terdahulu ke Madinah. Dalam keadaan yang hanya menanti detik kelahiran, beliau tabah menempuh perjalanan yang jauh dan amat berbahaya.
Bayangkan bagaimana jarak perjalanan dari Mekah ke Madinah ketika itu di padang pasir yang luas. Sedangkan pada hari ini dengan menaiki kenderaan seperti kereta di atas lebuhraya yang lurus pun mengambil masa lebih dari enam jam. Bagaimana agaknya dengan hanya menaiki unta atau berjalan kaki, sudah pasti perjalanan tersebut adalah sangat mencabar sehingga berhari-hari di bawah terik mentari.
Setibanya Asma’ dan rombongan di suatu tempat bernama Quba’, perutnya tiba-tiba terasa sakit dan tibalah saatnya untuk melahirkan cahaya mata. Di situ beliau telah selamat melahirkan seorang putera yang diberi nama Abdullah bin Zubair.
Kelahiran tersebut disambut dengan rasa syukur dan gembira oleh seluruh umat Islam di Madinah. Apatah lagi, itulah merupakan bayi pertama yang dilahirkan muhajirin di kota itu.
Setelah sekian lama mencurahkan jasanya kepada perjuangan yang luhur, srikandi yang zuhud ini menghembuskan nafas yang terakhirnya di kota Mekah dalam usianya 100 tahun. Wallahu a’lam Utv
Asma Abu Bakar, wanita hebat yang wajar dikenali
Baca Artikel Menarik:
- Akmal ajak Sanusi lawan bola sepak di Sg Bakap
- Semua pengkhianat UMNO Arau sudah dipecat
- alau dah jodoh dia – Ibu Aliff Aziz
- Rebut kawasan dadah punca kejadian tangan putus ditemukan
- Saham MAHB: Menteri Umno telah nyatakan bantahan – Tok Mat
- HARAM! UAI bidas pempengaruh dan NGO kayakan diri dengan duit derma
- PN akan ‘tumbang’ di PRK Sungai Bakap
- UMNO tekad tawan semula Felda
- Kanak-kanak 9 tahun maut dibaham buaya
- Suami Dalam Susah & Senang Hingga Akhir Hayat’ – Roy Revfa”
- Ramai Lelaki Cuba Nasib Mahu Jadi Pedamping Hidup Nora Danish
- Arwah adik terima ugutan bunuh berkali-kali sejak setahun lalu
- Syarikat yang ada kepentingan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta pasaran saham’ – Anwar
- Puteri Sarah ditawar jadi ‘social escort’ Datuk
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
PN dicabar tutup kilang berkaitan Blackrock di Kedah, Kelantan