Saya hilang rakan gaduh – Abang Fahmi

Saya hilang rakan gaduh – Abang Fahmi

Tanjung Malim: Abang kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar iaitu Lans Koperal Ahmad Azza Fitri, meluahkan perasaan kehilangan mendalam susulan pemergian satu-satunya adik lelakinya akibat insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, semalam.

Ahmad Azza Fitri, 24, berkata hanya mereka berdua lelaki dalam lapan adik-beradik.

“Saya hilang adik dan rakan gaduh.

“Saya anak ketiga, Ami (panggilan mesra Ahmad Azza Fahmi Azhar dalam keluarga) pula anak keempat.

“Dia daripada kecil sampai ke besar, dia tidur sebilik dengan saya. Kami tak pernah asing bilik, memang daripada kecil sebegini,” katanya semasa ditemui di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, di sini, hari ini.

Ahmad Azza Fitri yang juga berkhidmat sebagai anggota polis berkata, dia menerima berita duka itu daripada kakak kedua, Nur Azza Asyariena Azhar, 27, pada pagi semalam ketika sedang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya terdiam ketika diberitahu balainya diserang. Dalam fikiran ketika itu hanya fikir untuk cepat pulang ke sini,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir mereka berhubung adalah 16 Mei lalu semasa mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada bapa, Azhar Khaiden, 54, menerusi panggilan video berkumpulan di aplikasi WhatsApp.

“Saya dan arwah sudah empat tahun tidak beraya bersama kerana penugasan di tempat kerja masing-masing. Saya pasti akan rindukan sambutan Aidilfitri bersama Ami,” katanya.

Ahmad Azza Fitri berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian serangan terbabit untuk keadilan buat Allahyarham Ahmad Azza Fahmi.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi dijadualkan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, di sini, petang ini.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram akibat ditetak oleh seorang lelaki bertopeng.

Kejadian serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said turut terkorban akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama. HM

Saya hilang rakan gaduh – Abang Fahmi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

TMJ nafi jadi dalang, seru semua pihak bersatu melawan keganasan

Ini modus operandi Rasulullah ke? Aqasha bersuara pasal #Blockout2024

Maaf ya pelakon bermasalah

Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut Instagram

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker