Mereka masih MP – Speaker

Mereka masih MP – Speaker

Status enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen setakat ini, masih tidak berubah, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, keputusan muktamad mengenainya hanya akan dibuat jika pimpinan parti itu mengemukakan notis makluman berhubung perkara terbabit.



Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata sehingga kini beliau belum menerima sebarang pemakluman daripada BERSATU mengenai kedudukan keenam-enam Ahli Parlimen terbabit.

“Saya tak terima apa-apa, tidak ada sesiapa yang hubungi, surat atau e-mel pun tiada. Jadi, tidak ada apa-apa yang berlaku selagi (surat atau notis makluman) tidak sampai ke meja saya.

“Jadi, status mereka masih MP (Ahli Parlimen), sebab tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi Legislative Council of The Hong Kong Special Administrative Region di pejabatnya, hari ini.



Sebelum ini, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, surat mengenai status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu selesai.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menegaskan BERSATU antara lain memberitahu keputusan untuk menghentikan keahlian mereka sudah diputuskan, namun sedang menunggu pengesahan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Johari menegaskan, beliau tidak mengambil pusing mengenai isu kepartian selagi ia tidak berkaitan dengan Parlimen.

“Harus diingat apa yang berlaku di luar Parlimen bukan bidang kuasa saya, sama ada satu parti itu nak ubah atau tambah Perlembagaannya. Itu bukan masalah saya. Begitu juga apa yang terjadi kepada keahlian sesuatu parti, juga bukan masalah saya.



“Bagi saya, selagi ia tidak membabitkan Parlimen, saya takkan terlibat dan ambil pusing. Ini kerana ia adalah isu politik, pentadbiran politik dan isu membabitkan pentadbiran ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

“Hingga mereka selesaikan (masalah terbabit) dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat (keputusan). Sekarang ini tiada apa-apa yang berlaku lagi,” katanya.

Ditanya sekiranya beliau ada sebarang nasihat kepada BERSATU, jelas Johari, tiada keperluan untuk beliau berbuat demikian.

“Tak ada nasihat. Itu hak mereka, tiada (sebarang nasihat), saya hanya Speaker. Saya takkan beri nasihat, buat itu dan ini.



“Ini Parlimen yang bertindak di atas paksi Perlembagaan dan semua yang berlaku dalam Parlimen ada peraturan mesyuarat. Saya pegang kepada perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman. BH

Mereka masih MP – Speaker

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Amy keterlaluan – Din Search

Nenek kecewa Syasya ‘berhenti’ ketika popular



Saya terluka sebab dia – Yusof Haslam

Muaz dilarang masuk Singapura?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker