Jangan layan ‘rajuk’ MCA, fokus pada kempen PRK
Pakatan Harapan (PH) perlu menumpukan usaha meraih sokongan pengundi Kuala Kubu Baharu, tanpa memanjangkan isu keengganan MCA membantu kempen PRK untuk calon kerajaan perpaduan, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan pertikaman lidah berterusan antara MCA dan pemimpin PH khususnya DAP, dikhuatiri memberi bola tanggung kepada Perikatan Nasional (PN) merebut kerusi itu melalui calonnya Khairul Azhari Saut pada pilihan raya 11 Mei depan.
“PH terutama DAP tak perlu beri perhatian sangat kepada MCA kerana parti itu sukar memberi impak sama ada di Kuala Kubu Baharu atau peringkat nasional,” katanya kepada FMT menyentuh kekuatan MCA yang mempunyai dua Ahli Parlimen serta tujuh Adun.
“Kalau tidak akan digunakan sebagai bola tanggung kepada PN, tetapi setakat ini sukar dapat manfaat positif kerana MCA adalah MCA (pengaruh lemah).”
Beliau mengulas pertikaman lidah antara pemimpin PH dengan terbaharu membabitkan teguran Ahli Majlis Presiden PH Adam Adli yang meminta MCA tidak mengganggu atau mencemarkan calon kerajaan perpaduan di PRK Kuala Kubu Baharu.
Bagaimanapun, kenyataan ketua Pemuda PKR itu dibidas pemimpin sayap MCA, sambil menegaskan ‘semangat perpaduan’ tidak hanya dijadikan alasan ketika PH memerlukan bantuan komponen BN itu pada PRK atau PRN, sedangkan ada parti dalam kerajaan yang dilayan secara tidak ikhlas.
Malah, Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong mengakui wujud sentimen kemarahan dalam kalangan ahli MCA berikutan kenyataan dan serangan berterusan pemimpin DAP terhadap parti itu sejak sekian lama.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, sebelum ini mengulangi pendirian partinya tidak akan membantu kempen PRK kerajaan perpaduan, manakala Setiausaha Agung Loke Siew Fook menegaskan DAP mahu memfokuskan usaha meraih sokongan berbanding memujuk pihak enggan membantunya.
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut bersetuju DAP tidak perlu terbawa-bawa dengan naratif dibawa MCA, sebaliknya fokus bersama jentera kerajaan perpaduan memenangkan calonnya, Pang Sock Tao.
Katanya, pengundi Cina dan DAP dilihat akan memberikan undi kepada Pang walaupun ada unsur boikot daripada MCA, berikutan sokongan parti itu amat kecil di DUN berkenaan.
“Saya rasa kesan kecil sebab pengundi MCA sedikit. Kebanyakan pengundi DAP akan terus mengundi Pang,” katanya sambil menegaskan sukar dua parti itu berdamai kerana perseteruan lama dan PH pula lebih ‘teruja’ bekerjasama dengan Umno dalam kerajaan perpaduan.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Akauntan Cina kini bergelar Komando ATM [VIDEO]
- Suami Irma Hasmine buat kejutan, kongsi gambar kahwin baharu
- Gajah mengamuk, 4 termasuk pegawai perhutanan maut
- SPRM siasat pemimpin kanan di utara tanah air
- Aliff menangis Sarah minta putus hubungan
- Ruhainies mahu bersemuka dengan Bella, Sarah
- Norjuma didakwa tendang, cakar dan tampar tiga individu
- Tanah keluarga pelakon dipindah milik PTG Selangor tanpa pengetahuan
- Tertekan hon punca kekecohan ketika upacara pengebumian Komander Muhammad Firdaus (Video)
- Aliff Aziz mati kutu nak bayar ansuran kereta
- Aliff dan Ruhainies sanggup berkomplot jatuhkan Bella
- Emma Maembong tersilap langkah ‘voice note’ Ruhainies isu Bella Astillah
- Ruhainies jangan kaitkan nama saya – Chacha Maembong
- Akaun fleksibel KWSP boleh keluar bila-bila masa
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Jokowi kecewa rakyat Indonesia lebih percaya doktor Malaysia
Beting pasir seluas padang bola timbul di Sungai Kelantan kerana kemarau [VIDEO]