Mahkamah Persekutuan putuskan Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah

PUTRAJAYA: Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais memutuskan hakim pilihan raya tidak terkhilaf dalam dapatannya ketika menolak petisyen pilihan raya Abdul Hakim.

Ketika membacakan keputusan itu, Nallini berkata peguam perayu berhujah hakim pilihan raya telah terkhilaf apabila gagal membuat kesimpulan daripada bukti yang ada atas kesalahan rasuah di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



“Bagaimanapun, peguam responden (Mas Ermieyati) berhujah sebaliknya. Perkara paling penting ialah istilah ‘mendorong mana-mana pemilih atau pengundi untuk mengundi atau menahan daripada mengundi’.

“Kami diminta membuat rumusan bahawa dorongan mengikut maksud Seksyen 10(a) boleh disimpulkan daripada tindakan pemberian wang semata-mata tanpa tambahan kepada pengundi selepas mengundi. Kami menegaskan bahawa sebarang tindakan pemberian wang untuk tujuan mengundi atau seumpamanya, adalah amalan keji dan tidak dibenarkan oleh mahkamah dalam apa jua keadaan,” katanya.

Nallini seterusnya berkata Seksyen 10 (a) secara jelas memerlukan bukti dorongan bermaksud bahawa pengundi perlu dipujuk atau dibawa untuk mengundi atau tidak mengundi dengan “tindakan” yang didorong atau dijanjikan pemberian wang atau pertimbangan lain.

“Dalam rayuan ini tidak ada bukti pengundi dipujuk atau dipengaruhi atau didorongkan untuk mengundi atau tidak mengundi atau mengundi dengan cara tertentu. Tidak ada bukti ekstrinsik yang boleh digunakan untuk mengandaikan dorongan sedemikian,” katanya.



Nallini juga mempersoalkan sama ada tindakan membayar wang kepada pengundi mempengaruhi keputusan mereka untuk mengundi, memandangkan pengundi telah mengundi dan tidak dijanjikan pembayaran atau menyedari wang sedang diagihkan di belakang restoran.

“Dalam erti kata lain, ketiadaan sebarang bukti pemberian wang atau balasan lain pada bila-bila masa, sekarang atau masa akan datang, sebelum tindakan mengundi, bolehkah dikatakan bahawa pengundi telah didorong untuk mengundi oleh responden atau ejennya?

“Kami tidak fikir begitu. Ini kerana akta itu sendiri memerlukan unsur dorongan untuk dibuktikan. Tidak mungkin wujud suapan di bawah Seksyen 10(a) tanpa pembuktian unsur dorongan,” tambahnya.

Mengenai “ejen”, Nallini berkata mahkamah berpuas hati bahawa Akmal Zahin Zainal Zahir dan Noorashimah Nordin memang bertindak sebagai ejen bagi pihak responden (Mas Ermieyati).



“Bagaimanapun, dengan ketiadaan unsur-unsur dorongan dalam Seksyen 10(a) dan pengaruh rasuah dalam Seksyen 8, kesalahan rasuah dan memberi layanan adalah tidak dibuktikan. Kami berpendapat bahawa hakim pilihan raya juga terkhilaf dalam membuat inferens bertentangan terhadap perayu berhubung ketidakhadiran Akmal dan Noorashimah.

“Adalah jelas bahawa perayu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan saksi-saksi ini. Apa-apa kesimpulan sedemikian hendaklah, jika ada, dibuat terhadap saksi-saksi ini. Walau bagaimanapun, walaupun hakim Pilihan Raya telah berbuat demikian, ini tidak akan mengisi jurang asas kekurangan bukti ‘dorongan’,” katanya.

Pada 10 Nov 2023, Abdul Hakim mengemukakan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Abu Bakar Katar mengenai petisyen pilihan rayanya.

Pada 27 Okt tahun yang sama, Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengekalkan kemenangan Mas Ermieyati sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana bukti rasuah Abdul Hakim tidak mencukupi untuk membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen PRU15.



Pada 3 Jan tahun lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen pilihan raya itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi semasa PRU15.

Pada PRU15, Mas Ermieyati menang kerusi Parlimen berkenaan dengan memperoleh 25,604 undi, menewaskan Abdul Hakim (21,193 undi), Mutalib Uthman (7,445 undi) dan Handrawirawan Abu Bakar (507 undi).

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Apa jadi dengan Azhar Sulaiman?

Saya tak halalkan – Alif Satar



Marissa pusing 360 darjah – Abby

RM3.5j majlis perkahwinan anak jutawan Bawal Exclusive

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker