Jika digugurkan dari program Road To Gold kami akur – Lela, Bitah

Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berkata mereka akan akur dengan apa juga keputusan termasuk digugurkan daripada program Road To Gold (RTG).

Dua penerjun berpengalaman itu gagal menepati sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu dan keputusan itu menyaksikan mereka berada dalam situasi berbahaya dan boleh digugurkan daripada RTG.

Begitupun, Pandelela dan Nur Dhabitah sedar akan nasib yang akan dihadapi mereka dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan mesyuarat RTG dijadual diadakan pada hujung bulan ini, turut akan membincangkan mengenai kedudukan mereka.

“Saya memang sudah tahu, RTG adalah satu keistimewaan tetapi ia tak bermakna atlet berada dalam zon selesa. Anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu.

“Saya terima sahaja apa juga keputusan yang akan diputuskan dan saya ingin berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokong dan membantu saya, sebagai contoh, bantuan yang diberikan ketika Sukan Asia Hangzhou.

“Cuma tuah tidak memihak kepada saya untuk layak ke Sukan Olimpik kali ini,” kata Pandelela yang sebelum ini membuat kemunculan pertama di pentas temasya terbesar itu pada Beijing 2008.

Di Doha, Pandelela gagal menempah tiket ke Paris 2024 apabila terkandas pada pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu dan juga dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah selepas menduduki tempat ke-12 keseluruhan.

Dalam pada itu, Nur Dhabitah yang beraksi dalam kesakitan sepanjang kejohanan, turut senada dengan Pandelela.

“Saya tidak kisah. Seperti saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti dimahukan. Saya memilih untuk menunggu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya, kerana saya sudah kecewa,” katanya.

Nur Dhabitah terlepas peluang ke Paris 2024 apabila berada di kedudukan ke-24 dalam acara kegemarannya 3m papan anjal individu selain terkandas dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng.

Sebelum ini, Jawatankuasa RTG pernah menggugurkan skuad hoki lelaki pada November tahun lalu selepas gagal meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou.

Turut disingkirkan daripada program berkenaan dua beregu campuran badminton negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas kedua-dua pasangan mengalami penurunan mendadak dalam ranking kelayakan Olimpik.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rafizi yang akan ‘terbakar’ jika terus temberang

Vida geram Marissa jadi penyondol

Kecantikan Marissa bikin ramai cair

Rekod Nasi Kandar Sulaiman pecah lagi, kali ini RM222

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker