Terowong tentera Malaikat

Terowong tentera Malaikat

oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Saufi Hassan

Kali pertama penulis dibawa menyelinap dan melihat sendiri pembinaan terowong pejuang Al-Qassam adalah 11 tahun lalu. Bertarikh tanggal 7 Disember 2012.



Suasana pekat malam menyelubungi langit Semenanjung Gaza tatkala beberapa pejuang komando briged Al-Qassam lengkap bersenjata rifel AK-47 dan pelancar roket anti kereta kebal RPG-7 buatan Rusia mengiringi penulis.

Masing-masing menutup kepala dan muka menggunakan skaf keffiyeh yang menjadi simbol perjuangan Palestin untuk memerdekakan negara itu dari kekejaman Zionis.

Salah satu terowong rahsia berkenaan menyerupai perigi namun berbentuk empat segi. Terletak tidak jauh dari ladang zaitun bersebelahan binaan batu menyerupai kediaman setingkat.

Sukar untuk mengenal pasti lokasi tepat kedudukan pintu masuk terowong sulit itu berikutan pejuang Al-Qassam bergerak amat pantas dalam kegelapan malam tanpa bantuan cahaya.



Penulis mengekori mereka sejauh hampir 200 meter dari lokasi pertemuan pertama menyerupai khemah badwi di tengah ladang pohon zaitun.

Setiap terowong dibina bersaiz empat segi tepat dengan kedalaman melebihi 50 meter. Dasarnya kelihatan gelap dan ‘sayup’.

Terdapat berpuluh pancang besi berbentuk U dipasang pada dinding batu terowong bagi memudahkan pejuang Al-Qassam naik atau turun ke dasar terowong.

Ketika itu ‘projek’ membina terowong sulit bawah tanah sedang giat dilakukan pejuang Al-Qassam tanpa mengira siang atau malam. Anehnya tiada timbunan tanah atau sisa pasir dikorek di bahagian permukaan. Mereka cukup bijak mengelak kegiatan dihidu dron atau satelit Israel.



Penulis yang menjadi wartawan Malaysia pertama dibenarkan melawat terowong rahsia itu sempat menuruni lubang rahsia yang menjangkau kedalaman 10 meter sebelum naik semula ke permukaan.

Semuanya berlaku cukup pantas dan penulis hanya diberikan penerangan ringkas berhubung fungsi dan struktur binaan terowong ‘perang’ pejuang Hamas berkenaan.

Mereka memberitahu hanya menggunakan alat penyodok, tali dan baldi bagi mengorek terowong bawah tanah itu. Peralatan digunakan cukup asas dan hanya berbekalkan kudrat tulang empat kerat.

Salah seorang pejuang Hamas memberitahu penulis, terowong perang yang giat dibina itu bakal menjadi ‘senjata baharu’ dan lambang kehebatan taktikal perjuangan menentang penjajahan Israel. Keazaman dan kecekalan itu dibuktikan pejuang Hamas apabila mereka akhirnya berjaya menyiapkan terowong bawah tanah diperkuatkan dengan konkrit dan besi.



Selepas lebih sedekad ‘projek’ bawah tanah diusahakan, pejuang Hamas akhirnya berjaya menyiapkan ratusan jalur terowong rahsia di bawah bandar Gaza bagi digunakan untuk memerangi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sejak 7 Oktober lalu.

Terowong bawah tanah siap dibina itu dianggarkan sepanjang lebih 300 batu atau bersamaan 482 kilometer (km) panjangnya jika dicantum. Binaan terowong ini membawa kepada laluan yang saling bersambung yang terbentang di bawah bandar Gaza.

Namun baru-baru ini tentera Israel menganggarkan rangkaian terowong itu meliputi jarak antara 563km hingga 724km. Ia adalah angka luar biasa untuk wilayah Semenanjung Gaza sepanjang hanya 40km.

Selain itu, risikan Israel mendakwa terdapat hampir 5,700 syaf berasingan yang menuju ke terowong yang ada antaranya sedalam bangunan tujuh tingkat.



Terowong bawah tanah yang berselirat dan mengelirukan itu kini digunakan untuk menyerang hendap tentera Israel, menghantar dan menyembunyikan senjata, berlindung dari serangan bom selain menahan tebusan Israel.

Selain itu, terowong sulit dibina berkenaan mempunyai ruangan khusus untuk logistik, kemudahan penyimpanan bekalan makanan, bahan asas serta digunakan sebagai laluan pengangkutan.

Ternyata ciptaan terowong Hamas itu akhirnya menjadi ‘mimpi ngeri’ buat IDF apabila beratus tentera Israel maut dan lebih 1,000 lagi cedera parah sepanjang serangan dilakukan mereka sejak Oktober tahun lalu.

Ternyata taktik perang gerila menggunakan terowong rahsia ini tidak kurang hebatnya berbanding terowong dibina askar Viet Cong, Vietnam sepanjang 250 kilometer bagi menentang askar Amerika Syarikat pada tahun 1967.



Dengan rangkaian 1,300 terowong dibina itu, pejuang Hamas dan Al-Qassam diibaratkan ‘hantu’ oleh IDF berikutan boleh muncul dan menyerang hendap pada bila-bila masa.

Malah sehingga kini IDF gagal memusnahkan sama sekali rangkaian terowong digunakan pejuang Hamas ini walaupun sudah beribu tan roket dan bom digugurkan di Semenanjung Gaza.

Terowong ini menjadi sasaran bertali arus serangan udara, pengeboman artileri dan tentera darat sejak serangan gila Israel dimulakan.

Berdasarkan maklumat, terowong rahsia dibina itu menjangkau sehingga kedalaman 230 kaki atau bersamaan lebih 70 meter dari permukaan. Ia turut dilengkapi kabel elektrik dan paip untuk membekalkan kuasa dan pengudaraan.

Malah tentera IDF turut menyifatkan terowong Hamas berkenaan tidak ubah seperti sarang labah-labah yang boleh menyesatkan. Pintu rahsia untuk masuk dan keluar mungkin berada di bawah sisa bangunan yang dibom atau tersembunyi di bukit pasir jauh dari kediaman.

Hakikatnya kewujudan terowong bawah tanah di Gaza sudah wujud sejak tahun 1960-an lagi tertumpu di selatan Semenanjung Gaza bersempadan Rafah, Mesir.

Beratus terowong dibina melintasi sempadan khusus bagi menyeludup masuk bekalan makanan, keperluan asas, perkakas elektrik sehinggalah kepada haiwan ternakan.

Terowong itu umpama ‘talian hayat’ bagi penduduk Gaza yang dikepung tembok batu setinggi lapan meter dan sepanjang lebih 730 kilometer dibina Israel.

Walaupun serangan besar-besaran pernah dilancarkan Israel untuk memusnahkan terowong di Gaza pada 2014 namun ia berjaya dibina semula berbekalkan semangat tidak putus asa penduduk Gaza.

Biarpun tentera IDF mendakwa berjaya membongkar dan menemui banyak rangkaian terowong bawah tanah namun serangan berterusan tentera Hamas dan Al-Qassam membuktikan sebaliknya.

Tidak hairanlah tentera Israel menyamakan terowong bawah tanah di Gaza menyamai sistem kereta api bawah tanah di New York hingga digelar ‘Metro Gaza’.

Sukar untuk menang melawan tentera malaikat biarpun IDF cuba pelbagai cara termasuk mengepam air laut ke dalam terowong Hamas di Gaza.

Seharusnya Israel mengambil iktibar daripada sekutunya, Amerika Syarikat yang pernah tewas teruk ketika memerangi askar Viet Cong, Vietnam selain pejuang Al Qaeda di Afghanistan yang turut menggunakan taktik terowong bawah tanah.

‘Pam air laut sekalipun terowong takkan musnah’

Topografi tanah berpasir di Gaza memudahkan pejuang Hamas untuk menggali banyak rangkaian terowong bawah tanah sekaligus menyukarkan Israel memusnahkannya.

Pakar geomorfologi, Profesor Joel Roskin berkata, tanah berpasir dan batu pasir berkapur yang memiliki zarah halus melatari kawasan Semenanjung Gaza seluas 365 kilometer (km) persegi.

Menurutnya, banyak sumber dan tenaga digunakan untuk menggali terowong bawah tanah itu yang turut diperkuatkan dengan konkrit.

“Sifat semulajadi tanah berpasir di Gaza sudah tentu memudahkan usaha Hamas. Ini membolehkan mereka menggali dengan tangan kosong atau menggunakan alatan yang ringkas.

“Kedudukan terowong bawah tanah Hamas sehingga kedalaman melebihi 50 meter menyukarkan ia dikesan tentera Israel. Terowong bawah tanah Hamas amat unik dan mereka sangat inovatif berhubung kedalaman terowong dibina,” katanya.

Menurutnya, usaha tentera Israel cuba memusnahkan sistem rangkaian terowong bawah tanah ini dengan membanjiri air laut yang dipam dilihat adalah usaha itu sia-sia.

“Taktik Israel itu hanya berisiko mencemarkan bekalan air tawar dan merosakkan apa-apa infrastruktur kekal yang berada di permukaan tanah.

“Sebelum ini taktik sama pernah digunakan Israel dengan membanjirkan simen ke dalam lubang terowong bawah tanah dibuna pejuang Hizbullah di sempadan Israel – Lubnan pada tahun 2018.

“Begitu juga tindakan Mesir membanjirkan terowong dibina penduduk Gaza di sempadan Rafah menggunakan air laut, air kumbahan dan simen pada 2013,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu hanya akan mencemarkan bekalan air tawar bawah tanah selain memaksa penduduk Palestin meminum air kotor atau masin untuk menghilangkan dahaga.

“Peperangan terowong sentiasa menjadi salah satu bentuk pertempuran paling rumit.

Tentera yang berhadapan dengan ancaman serangan bawah tanah ini biasanya menggunakan senjata paling berkuasa mereka termasuk bom B-52, penyembur api, bom termobarik, bom pemusnah kubu dan peluru berpandu

“Bagaimanapun, taktik ini gagal untuk menghapuskan musuh yang beroperasi dari gua, terowong, dan struktur bawah tanah buatan.

“Israel sedar bahawa terowong bawah tanah Hamas boleh digunakan untuk menculik tentera dan orang awam, menyusup ke wilayah Israel dan melakukan serangan hendap,” katanya. HM

Terowong tentera Malaikat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tengku Fa-iz dilucutkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan

Unsur ‘softporn’, Alya Iman dan Shukri ‘dibantai’ netizen

Fatiya Latiff dicium pula selepas dipeluk

SuriaFM dedah punca khidmat Tyzo ditamatkan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker