Dakwah solo Muhammad Roger
Dakwah solo Muhammad Roger
Satu ketika dahulu, hati mereka pernah dijentik untuk menerima hidayah Allah SWT hingga terbuka hati memeluk Islam.
Berbekalkan ilmu yang ada, mereka memanfaatkannya dengan menyebarkan ajaran Islam hingga kini aktif sebagai pendakwah.
Meskipun sedar tugas itu bukan mudah namun mereka terus melangkah dan usaha dilakukan berhasil apabila dapat mengislamkan serta membimbing ramai saudara baru menuju ke jalan Allah
Ikuti kisah dua mualaf yang berkongsi pengalaman, cabaran dan suka duka mereka sejak bergelar pendakwah
Shah Alam: “Saya tak pilih (jadi pendakwah) tapi Allah yang pilih dan tetapkan jalan saya begini, jadi ikut saja ketentuan-Nya,” kata Muhammad Roger James Arnold, 49, yang asalnya beragama Kristian, tetapi aktif sebagai pendakwah sejak memeluk Islam, 11 tahun lalu.
Kesungguhannya dalam melakukan kerja dakwah secara sukarela terbukti apabila dia sudah membantu mengislamkan lebih 420 saudara baru termasuk warga asing dari pelbagai negara antaranya Filipina dan Amerika Syarikat.
Berkongsi kisahnya, Muhamad Roger yang juga Presiden Persatuan Inspirasi Muallaf berkata, pembabitannya dalam kerja dakwah bermula selepas dia memberi bantuan kepada sahabat mualaf.
Bertitik tolak daripada situ, Muhammad Roger terus bergerak secara solo dan berkongsi ilmu agama yang ada dengan saudara baru lain sehingga kini.
“Saya masih ingat lagi kenangan awal dahulu yang mana tak ada apa pun (bahan) nak dakwah ketika itu.
“Tapi pendekatan saya adalah menyampaikan dakwah dengan akhlak menerusi aktiviti kebajikan yang mana tidak hanya beri kepada orang Islam atau mualaf saja tetapi juga bukan Islam.
“Setiap kali berjumpa masyarakat, saya akan selalu senyum dan bertanya khabar, jadi mungkin daripada situ, segelintir orang senang dengan cara saya hingga terbuka hati menerima dakwah disampaikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Inspirasi Muallaf di Seksyen U5, di sini, baru-baru ini.
Seperti pendakwah lain, Muhamad Roger mengakui dia juga tidak terlepas daripada cabaran dalam menyebarkan ajaran Islam.
Bagaimanapun, katanya, dia cuba berlapang dada dan menganggap cabaran itu sebagai motivasi yang menguatkan lagi dirinya dalam menjadi pendakwah.
“Banyak fitnah dilemparkan terhadap saya malah di TikTok pun dapat kecaman daripada mereka yang melemparkan perkataan kesat serta ancaman iaitu mesej berbaur ugutan.
“Tapi sebagai pendakwah, kita kena tenang berdepan dengan situasi itu dan ingat niat asal iaitu menyampaikan ajaran Islam.
“Tak semestinya jumpa seseorang hari ini, mereka akan terus peluk Islam kerana ada yang sekadar nak tahu tetapi tak nak terima pun.
“Lagipun, hidayah itu milik Allah, jadi hanya Allah boleh menjentik hati mereka, maka konsep kita adalah menyampaikan sahaja dan mengajak mereka (golongan sasar) kepada kebenaran,” katanya.
Selagi ada kudrat, Muhammad Roger mahu terus berdakwah dan membimbing saudara baru di luar sana.
“Kerja dakwah ini tak akan putus, jadi saya akan terus buat sampai Allah izinkan dan sehingga ajal menjemput.
“Matlamat saya adalah mencari pelapis kalangan mualaf yang boleh jadi pendakwah untuk generasi akan datang.
“Buat masa ini, saya sudah bimbing empat saudara baru untuk menjadi pendakwah dan tempatkan mereka di beberapa kawasan antaranya di Pulau Ketam dan Sabak Bernam di Selangor serta juga Segambut, Kuala Lumpur.
“Diharap lebih ramai lagi saudara baru berminat menjadi pendakwah dan boleh mulakan dengan berkongsi ilmu yang asas serta keindahan Islam,” katanya.
Pendekatan santai Bro Shah tarik minat bukan Islam
Lebih 20 tahun berdakwah, Shah Kirit Kakulal Govindji atau dikenali sebagai Bro Shah menggunakan pendekatan lebih santai untuk mengajak golongan bukan Islam mendekati agama ini.
Sebelum memeluk Islam pada 1996, dia tertanya-tanya sama ada Tuhan itu wujud sejak usianya 10 tahun.
“Saya menjadi seorang yang free thinker sejak awal lagi, sifat ingin tahu sama ada manusia cipta Tuhan atau Tuhan cipta manusia itu wujud dalam diri.
“Jadi, apabila saya memulakan niat untuk berdakwah, saya buat beberapa kesilapan dan hasil daripada kesilapan itu, saya tukar pendekatan saya kerana sebagai mualaf, saya sendiri lebih tahu apa yang menakutkan orang bukan Islam untuk memeluk agama mulia ini.
“Saya tidak suka berdebat dan lebih memilih berdakwah secara berdialog kerana pendekatan bagi orang bukan Islam memeluk agama ini perlu diubah.
“Ini kerana mereka memerlukan masa untuk mendalami Islam dan mengamalkan cara hidup agama itu dengan sempurna.
“Peringkat awal saya memeluk Islam, saya pernah terfikir untuk murtad kerana saya lihat pendekatan yang digunakan bukan mengislamkan tetapi perlu menjadi ‘Melayu’.
“Itu menakutkan kerana mualaf seperti kami ada adat budaya tersendiri, oleh itu mana-mana budaya yang tidak bercanggah dengan Islam, ia bebas untuk diamalkan, malah tiada istilah sebagai Islam pertama atau kedua apabila menjadi mualaf,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Menurutnya, keinginan untuk menjadi pendakwah memang sudah wujud semasa awal dia memeluk Islam lagi dan memasang niat berdakwah disebabkan yakin Islam adalah agama yang benar.
“Saya hendak berdakwah tetapi tak pandai, namun saya selalu berdoa Allah beri saya petunjuk dan jalan, syukur Alhamdulillah, Allah membuka jalan untuk saya belajar berdakwah dengan Dr Zakir Naik, arwah Prof Muhammad Almahdi dan Sheikh Nuruddin Lemu.
“Guru terawal saya untuk mendalami Islam pula adalah pendakwah dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Perak, Ustaz Ali Chin.
“Ustaz Ali sanggup mengorbankan masanya untuk berjumpa dengan saya setiap hari sambil menceritakan soal akidah dan ketuhanan menyebabkan hati ini tersentuh dengan Islam.
“Selain itu, Ustaz Ali turut menceritakan bagaimana Allah mencipta manusia di samping menasihatkan saya belajar secara beransur-ansur untuk memahami Islam,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Shah Kirit kini menjadi pendakwah sehingga ke peringkat antarabangsa dan bukan sahaja menerima jemputan berceramah di Malaysia, malah ke lebih 20 negara termasuk United Kingdom, Australia dan Hong Kong.
Dia bersyukur kerana sepanjang berceramah lebih 20 tahun, beratus orang sudah dibawanya memeluk Islam.
“Saya tidak pernah kira berapa ramai yang sudah saya bantu memeluk Islam kerana hidayah itu Allah sendiri yang beri tetapi dalam masa sama, kita tidak boleh berdiam diri tanpa berusaha kerana usaha dakwah itu wajib bagi setiap individu Islam,” katanya.
Dia yang juga Presiden Global Unity Network sering menyertai pelbagai program dan dialog agama yang dianjurkan di pusat ibadat agama lain serta mengendalikan pelbagai aktiviti dan program latihan dakwah di dalam dan luar negara.
Atas sumbangannya, dia juga mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Perkim alu-alukan mualaf mahu jadi pendakwah
Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) mengalu-alukan pembabitan mualaf yang berminat untuk menjadi pendakwah sekali gus membantu dalam tugas penyebaran ajaran Islam.
Pegawai Pengislaman dan Dakwah Perkim Cawangan Wilayah Persekutuan, Amran Anbarasu Abdullah atau dikenali Ustaz Amran berkata, pihaknya juga sedia membantu mualaf yang serius menceburi bidang dakwah menerusi kursus dan bimbingan kepada mereka.
Katanya, kursus itu juga dianjurkan Perkim secara solo selain menerusi kerjasama Lembaga Zakat Selangor serta lain-lain agensi.
“Kursus itu diadakan di merata tempat dan bukan hanya teori malah kita turut beri bimbingan dalam bentuk praktikal.
“Salah satu aspek ditekankan adalah cara berkomunikasi yang penting dalam menyampaikan dakwah.
“Tidak hanya itu, pendakwah mualaf terbabit juga boleh mengikuti kursus lanjutan anjuran Perkim bagi memantapkan dan meningkatkan pengetahuan mereka,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Menurutnya, selain minat, seseorang mualaf juga memerlukan kelayakan untuk bergelar pendakwah.
Amran berkata, pentauliahan diberi oleh jabatan agama Islam negeri tempat seseorang pendakwah itu bermastautin.
“Setakat ini, ada seramai 100 pendakwah mualaf bertauliah di seluruh negara dan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Nombor satu (kelayakan) adalah individu itu sewajarnya menjaga solat serta ada kebolehan membaca, menulis, mengaji al-Quran dan paling penting berakhlak iaitu menjaga perlakuan serta tutur kata.
“Penting menjaga aspek percakapan supaya mereka yang menerima dakwah tidak tersinggung dengan apa disampaikan.
“Justeru, hati-hati dalam setiap tindakan dan pengucapan kerana zaman tular ini macam-macam boleh berlaku dan sebaiknya rujuk ulama atau ahli agama jika tidak pasti sebelum beri jawapan kerana dikhuatiri mengelirukan ramai,” katanya.
Amran berkata, pendekatan dakwah yang sebaiknya adalah menerusi akhlak dan perbuatan.
“Ikut cara Rasulullah berdakwah iaitu dengan menunjukkan akhlak dan perbuatan baik,” katanya. HM
Dakwah solo Muhammad Roger
Baca Artikel Menarik:
- Main tak pakai otak, smash saja – Rexy
- KPT tidak terima arahan tutup Uniten
- Mungkin aset saya dah bernilai lebih RM50 bilion sekarang – Daim
- PM France lantik ‘suami’ jadi Menteri Luar
- Saya masih berdendam dengan Aiman – Fatiya Latiff
- Zahirah ‘beauty with brain’, Fatiya pulak?
- Isteri Aman Graseka tak berani komen [VIDEO]
- Kalau Teresa masih tak faham, tambah dos 2 sudu sawit sehari – Ka Siong
- Shiera cari Aman Graseka
- 17 gambar kemaluan tidak dikenal pasti milik siapa
- Janganlah sombong sangat
- Polis direman disyaki rogol pelajar asing
- Bapa mangsa prank saman guru, KP pendidikan dan kerajaan
- Badan Peguam “busy body” – Zahid
- Ada ahli parti tak selesa Sanusi karaoke sampai pagi – PAS
Layari Laman Facebook MYKMU.NET