Bursa Malaysia naik empat hari berturut-turut, hampiri 1,500 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan belian susulan daripada minggu lalu dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi hari ini bagi hari keempat berturut-turut diterajui saham pembinaan dan tenaga.

Pada 5 petang, indeks FBM KLCI meningkat 0.54 peratus atau 8.09 mata kepada 1,495.70 daripada paras penutup 1,487.61 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.99 mata kepada 1,488.60, paras terendah intra harinya, dan bergerak dalam trajektori meningkat ke paras tertinggi intra harinya pada 1,498.52 selepas sesi tengah hari dan kemudiannya berundur ke paras penutup pada hari ini.



Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 494 berbanding 448, manakala 583 kaunter tidak berubah, 695 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 6.96 bilion unit bernilai RM4.21 bilion daripada 6.62 bilion unit bernilai RM3.72 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata FBM KLC ditutup positif susulan belian asing yang kukuh.

Sementara itu, beliau berkata indeks utama serantau ditutup bercampur-campur dengan jualan besar-besaran di Hong Kong dan China apabila perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China memuncak semula.



“Langkah mengenakan sekatan oleh kedua-dua pihak ke atas beberapa syarikat menambahkan lagi ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan sentimen pasaran.

“Pelabur teruja menunggu data inflasi dari China pada Jumaat ini kerana ia dijangka menjadi petunjuk utama bagi mengukur prospek dasar bank pusat,” katanya kepada Bernama.

Di Bursa Malaysia, beliau berkata prospek positif Rakuten Trade terhadap pasaran tempatan dipacu oleh penilaian menarik, peningkatan keyakinan pelabur dan belian asing yang kukuh.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI menguji paras psikologi 1,500 tidak lama lagi.



“Bagi minggu yang baru berakhir ini, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran 1,490 hingga 1,510 dengan paras rintangan segera pada 1,510 dan paras sokongan pada 1,465,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB naik tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM4.36 dan RM6.03, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM10.54, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.22, manakala Maybank tidak berubah pada RM9.06.

Hari ini, Capital A Bhd mengumumkan memeterai surat tawaran tidak mengikat dengan AirAsia X Bhd bagi cadangan penjualan perniagaan penerbangannya, iaitu AirAsia Bhd (AirAsia Malaysia) dan AirAsia Aviation Group Ltd.

Susulan pengumuman itu saham Capital A naik 1.5 sen untuk ditutup kepada 84.5 sen dengan 40.09 juta saham diniagakan.



Dalam kalangan kaunter cergas, Ekovest meningkat 3.5 sen kepada 59 sen, Ta Win dan Minetech Resources naik setengah sen masing-masing kepada 4.5 sen dan 22 sen, Iskandar Waterfront City mengukuh 6.5 sen kepada 96.5 sen, manakala Hong Seng Consolidated tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE menokok 10.43 mata kepada 5,448.70, Indeks FBM Emas naik 62.16 mata kepada 11,159.38, Indeks FBMT 100 meningkat 56.99 mata kepada 10,801.36, Indeks FBM 70 melonjak 73.97 mata kepada 15,133.84, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 45.63 mata kepada 11,277.77.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 9.18 mata kepada 849.00, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.20 mata kepada 178.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 86.72 mata kepada 16,669.05, Indeks Perladangan menokok 34.81 mata kepada 7,065.73, manakala Indeks Hartanah susut 3.16 mata kepada 922.60.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.74 bilion unit bernilai RM3.80 bilion daripada 4.52 bilion unit bernilai RM3.30 bilion pada Jumaat minggu lalu.



Jumlah dagangan waran menambah kepada 867.57 juta unit bernilai RM108.87 juta daripada 714.25 juta unit bernilai RM88.62 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.34 bilion saham bernilai RM303.60 juta daripada 1.36 bilion saham bernilai RM341.15 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 521.13 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.34 bilion); pembinaan (434.86 juta); teknologi (534.22 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (112.28 juta); hartanah (739.60 juta); perladangan (47.10 juta); REITs (13.29 juta), dana tertutup (197,700); tenaga (356.88 juta); penjagaan kesihatan (295.53 juta); telekomunikasi dan media (38.27 juta); pengangkutan dan logistik (106.81 juta); dan utiliti (199.28 juta).

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rosyam saran buka rumah pelacuran untuk warga asing

Nabila Huda mengamuk, mahu dedah semua kejahatan

Saiful Apek beri nasihat makan dalam semasa ziarah jenazah arwah Hamdan (Video)

Shuib selamatkan Ajak terkandas di pulau dengan helikopter

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker