Ganggu Wahab secara seksual atas bot dan di hotel, Agus nafikan tuduhan
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dituduh melakukan gangguan seksual sebanyak dua kali terhadap pekerja jabatan itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Sumber yang enggan identitinya didedahkan berkata, gangguan seksual itu dilakukan Mohammad Agus masing-masing di atas sebuah bot dan di sebuah hotel di Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, Mohammad Agus menafikan dakwaan itu.
“Siasatan (ke atas Mohammad Agus) berkisar kepada laporan dibuat Wahab,” kata sumber itu kepada FMT.
Terdahulu hari ini, Mohammad Agus hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk direkod keterangan berkait dakwaan gangguan seksual.
Difahamkan, proses rekod keterangan bermula kira-kira jam 11 pagi tadi sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima membawa Mohammad Agus yang dipandu peguamnya, Zaflee Pakwanteh, meninggalkan perkarangan IPD Kajang jam 1.17 tengah hari.
Petugas media cuba mendapatkan respons Mohamamd Agus, namun beliau yang berada dalam kenderaan hanya melambaikan tangan, begitu juga Zaflee.
Terdahulu, BH melaporkan polis akan merekod keterangan Mohammad Agus susulan dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap Abdul Wahab, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, pada Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM itu yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.
You must be logged in to post a comment.