‘Kebabaian’ pengganas Zionis terserlah dengan kisah dari Majda Qiblawi

JENIN – Awal pagi Ahad lalu, seorang warga Palestin, Majda Qiblawi dan empat orang anak perempuannya dipaksa keluar dari rumah mereka di daerah Burqin barat Jenin dan diarah duduk di atas tanah di tepi jalan dalam keadaan hujan lebat ketika musim sejuk mula melanda Palestin.

Tentera penjajah kemudian merentap lengan anak lelaki tunggalnya, Abdullah, 21, yang menghidap sakit kronik dan mengheretnya keluar dari rumah dengan keadaan matanya ditutup dan tangan diikat.

Menceritakan detik hitam itu kepada Agensi Berita Palestin (WAFA), Majda berkata, kira-kira jam 7.30 pagi, sepasukan tentera zionis Israel cuba memecahkan pintu rumah dengan melontar bom dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum menyerbu masuk.



“Kami sedang tidur ketika itu,” kata Majda.

Sebelum itu tentera Israel melaungkan nama suaminya, Rajeh supaya keluar dan menyerah diri atau mereka akan menembaknya, tetapi suaminya tiada di rumah ketika itu.

Suaminya, Rajeh Qiblawi, 40-an, anggota pimpinan pusat Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin merupakan bekas tahanan tentera Israel yang dibebaskan September tahun lalu selepas dipenjara selama empat tahun.

“Tentera Zionis masuk dengan biadab menyebabkan anak-anak perempuan saya ketakutan dan menangis,” katanya.



Abdullah pernah mengalami kecederaan parah sebelum ini dan baru selesai menjalani beberapa siri pembedahan selain masih menerima rawatan.

Tentera Israel tetap menahannya tanpa rasa simpati dengan keadaannya yang masih lemah.

“Abdullah pernah kemalangan dan menjalani pembedahan membuang limpa, buah pinggang dan sebahagian paru-parunya, tahap kesihatannya tidak stabil dan masih bergantung kepada ubat tetapi mereka tidak mengendahkan semua itu.

“Puas saya merayu kepada mereka untuk benarkan dia mengambil ubat-ubatannya tetapi mereka tidak mengendahkan. Mereka tetap menyeretnya yang tidak lengkap berpakaian dan membawanya pergi.



“Mereka turut membiarkan saya dan empat anak perempuan saya, yang sulung berumur 14 tahun dan yang bongsu berumur tujuh tahun duduk di tepi jalan dalam keadaan hujan selama lebih sejam sambil dikawal ketat seorang tentera bersenjata,” katanya.

Beliau berkata, tentera Zionis turut mengancam akan kembali semula untuk menahan suaminya dan mengugut membunuhnya jika tidak menyerah diri selain mengancam akan mengebom rumah mereka.

Sehingga kini beliau sekeluarga tidak mengetahui di mana Abdullah berada dan ke mana dia dibawa oleh tentera Zionis.

Majda merayu kepada Majlis Hak Asasi Manusia dan institusi kemanusiaan antarabangsa untuk campur tangan segera bagi membolehkan bekalan ubatan yang diperlukan dihantar kepada anaknya.



Sejak sekian lama begitulah rutin harian kehidupan yang perlu dilalui warga Palestin.

Rakyat Palestin sering diacu dengan senapang, dilontar bom, dilayan dengan kasar dan biadab, situasi itu berlaku hampir di kesemua bandar, daerah dan kampung malah di sekitar kem pelarian Palestin di Tebing Barat, lapor WAFA.

Menurut WAFA, serangan dan jenayah perang oleh Israel terus berlaku di Gaza dan Tebing Barat dengan tentera sengaja memusnahkan bangunan kediaman dan infrastruktur awam.

Sehingga kini, serangan rejim Zionis Israel mengorbankan kira-kira 14,100 warga Palestin termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita dengan lebih 33,000 cedera serta lebih 6,800 masih terperangkap di bawah runtuhan. – Bernama-WAFA



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Batalkan konsert Coldplay? Tiket tak beli bolehlah



‘Tangan tak dapat angkat gelas, kaki lemah, muka herot’ – Esma Daniel

Rusdi Ramli, Sharon berpisah?

Nak maki sampai bila – Ali Puteh

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker