Hukum berkahwin dengan sepupu
Hukum berkahwin dengan sepupu
Soalan:
Assalamualaikum. Saya ada soalan. Bolehkah sesama sepupu berkahwin? Misalnya saya berkahwin dengan anak perempuan pakcik saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68).
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa perkahwinan antara sepupu adalah dibolehkan dan sah. Oleh itu, seseorang itu dibolehkan untuk menikahi mana-mana sepupu perempuannya, sama ada anak kepada pakciknya mahupun makciknya, begitu juga tidak kira sebelah bapanya mahupun sebelah ibunya.
Ini kerana mereka tidak termasuk dalam orang yang diharamkan berkahwin sebagaimana nas yang dinyatakan. Firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Bahkan salah seorang daripada isteri Nabi SAW sendiri adalah sepupu kepada Baginda SAW iaitu Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy R.Anha. Beliau adalah sepupu Rasulullah SAW dari sebelah bapanya iaitu anak kepada ibu saudaranya yang bernama Umaimah binti ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim.[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perkahwinan antara sepupu adalah dibolehkan dan sah. Oleh itu, seseorang itu dibolehkan untuk menikahi mana-mana sepupu perempuannya, sama ada anak kepada pakciknya mahupun makciknya, begitu juga tidak kira sebelah bapanya mahupun sebelah ibunya. Hal ini kerana Allah SWT membenarkan pernikahan tersebut dan sepupu perempuan tidak termasuk dalam kalangan wanita yang diharamkan untuk dikahwini.
Sesungguhnya, melalui perkahwinan pasti akan dapat meluaskan hubungan kekeluargaan di samping meningkat ikatan kekeluargaan baru yang saling menyayangi. Begitu juga, saling bekerjasama, tolong-menolong, akhirnya membentuk keluarga dengan zuriat yang solehah. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga kita sentiasa diredhai Allah SWT.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74).”
Kredit : Maktabah Al Bakri
Hukum berkahwin dengan sepupu
Baca Artikel Menarik:
- Tindakan pecat pekerja pakai salib tak selari ajaran Islam – Mufti
- Dulu kamu buat apa, Anwar bidas PN kait petisyen syariah dengan kerajaan
- Harga Proton S70 lebih murah dari City dan Vios
- Israel reka cerita tentang Hamas demi raih perhatian dunia
- Bergegas ke konvo terima sarjana selepas kebumi jenazah ayah
- 6 saintis UniMAP antara terbaik dunia
- Jual tanjak lagi lumayan dari kerja bank
- Jantung Ebby Yus semakin lemah
- Kelantan jadi ‘lauk’ Sabah, bolos 102 gol Liga Super
- Hannah, tolonglah masuk campur
- Coldplay menyokong perjuangan Palestin
- Siti respon isu KWSP, harap jangan abai kebajikan pekerja
- MP Maran dimasukkan ke CCU, IJN
- Ramalan ‘nujum’ kata Madani cuma bertahan 3,4 bulan tak menjadi
- Kecam, boikot tapi jangan hina – Fazura
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Batalkan konsert Coldplay? Tiket tak beli bolehlah
‘Tangan tak dapat angkat gelas, kaki lemah, muka herot’ – Esma Daniel