Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim terus berangan-angan

Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim terus berangan-angan

Oleh Hishamuddin Aun –

Muhyiddin Yassin kata Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikannya mampu bentuk kerajaan Pahang yang baharu jika menang PRK Pelangai Sabtu ini. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula tambah itu boleh berlaku kerana DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti-lompat parti.

Kedua-duanya bayangkan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan – menang Pelangai dan kemudian dapat empat Adun Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menyeberang. Tapi sebenarnya kedua-duanya – baik Muhyiddin mahupun Tuan Ibrahim – juga naif dan cuai hingga cakap-cakap mereka tak boleh pakai.

Pada PRU15, BN menang 16 kerusi DUN Pahang manakala PN mendapat 17 kerusi. BN kemudian menubuhkan kerajaan negeri dengan PH yang memiliki lapan kerusi DUN yang memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti dengan 24 kerusi. Jadi, bagaimana PN mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang PRK Pelangai yang memberikan tambahan cuma satu kerusi kepada 18?

Jawapan Muhyiddin ialah itu boleh dicapai jika benar khabar angin ada empat Adun di pihak kerajaan sekarang yang ingin menyertai PN. Makna kata jika itu berlaku, PN yang akan dapat majoriti dengan 22 kerusi manakala BN-PH akan tinggal 20 kerusi di DUN Pahang yang memiliki 42 kerusi.

“Ya, (kemenangan kerusi Pelangai) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” katanya pada sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian, Pelangai petang Selasa lepas.

Tidakkah ini cuba kelirukan pengundi? Ini kerana Muhyiddin membuat kenyataan itu berdasarkan khabar angin dan andaian yang beliau sendiri tidak pasti betul atau tidaknya. Asalkan ia sedap didengar pengundi dan ia dapat menarik sokongan mereka kepada PN, kepadanya hentam sajalah.

Mengenali Muhyiddin, tentunya beliau boleh saja menjelaskan kemudian yang kenyataannya itu telah dilaporkan di luar konteks seperti yang biasa dibuatnya ketika kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram bulan lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis dialog itu, Muhyiddin hairannya mengakui pula yang beliau tidak pasti siapa yang dikatakan empat (Adun) yang mahu menyeberang itu.

“Kami terbuka kepada sesiapa yang ingin sokong. Tapi saya tak pasti jika khabar angin ini ada kebenarannya. Apa-apa pun, Pelangai penting buat kami. Kami bekerja keras untuk jelaskan kepada pengundi agar mereka boleh beri undi kepada calon kami, Kasim Samat.

“Jika menang, ia pastinya kuatkan kedudukan PN. Kami tahu jumlah (kerusi) masih tak cukup, tapi jika ia boleh buka peluang untuk kami tubuh kerajaan, pastinya kami harap dapat berbuat demikian,” katanya. Kasihan penyokong PN mentah-mentah diperdayakan.

Di majlis dialog itu, Tuan Ibrahim berkata jika benar ada empat Adun yang ingin menyertai PN, beliau ingin bertemu dengan mereka. Ketua pembangkang di DUN Pahang itu sekurang-kurangnya jujur yang beliau tak tahu sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Jawapan saya mudah – jika memang ada empat Adun (yang ingin sertai), bawa jumpa saya. DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti-lompat parti. Kami masih akan bincangkan rang undang-undang ini,” kata Adun Cheka itu lagi.

Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti asalnya dijadual dibentangkan di DUN Pahang pada 8 Mei lalu tetapi pembangkang meminta penangguhan. Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata ketika itu kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan pembangkang yang meminta lebih masa untuk meneliti rang undang-undang tersebut.

Lagipun, RUU anti lompat parti di Pahang hanya dapat direalisasikan jika memperoleh sokongan 2/3 atau 28 Adun. Blok kerajaan ketika ini hanya mempunyai 23 Adun iaitu kurang lima kerusi untuk mencapai 2/3 bagi meluluskannya.

“Sebab mereka (pembangkang) menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekalipun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga. Sebab kita (kerajaan) tiada dua pertiga,” kata menteri besar di Program Sembang Santai Veteran di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai kelmarin.

Wan Rosdy turut menyelar kenyataan Muhyiddin konon ada Adun BN mungkin menyertai PN sekiranya gabungan itu menang kerusi Pelangai sambil menyifatkan ia satu bentuk fitnah yang bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Sabtu ini.

Tuan Ibrahim ketika majlis dialog kelmarin berkata belum ada wakil rakyat pihak kerajaan yang mendekatinya atau PN setakat ini, yang jika boleh disimpulkan dengan mudah, bermaksud kedua-dua beliau dan Muhyiddin sebenarnya tak tahu tapi mereka tetap bercakap mengenai benda yang tak diketahui asal-usulnya.

Aneh kerana ia membabitkan dua pemimpin tertinggi PN yang dah banyak menuduh pimpinan kerajaan perpaduan berbohong itu dan ini. Tapi jika difikirkan balik, ia tak aneh pun kerana itu biasa dengan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka tak menyalahkan ‘kerengga’ kerana mengacau.

Dari selepas PRU15 November tahun lalu lagi – dah hampir setahun pun – PN dan Muhyiddin masih dibuai angan-angan hingga Tuan Ibrahim pun nampaknya terjebak sama. Jika pentadbiran Pahang berubah, Tuan Ibrahim dibayangkan akan menjadi menteri besar.

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” kata Muhyiddin kelmarin. Jawapannya lambaaat lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Sharkar Shamsudin menolak ura-ura ada Adun Umno akan berpaling tadah sebagai khabar angin semata-mata. “Tak betul tu, berita angin je. Tiada siapa nak jadi kerajaan pembangkang pada kerajaan pusat,” katanya. FMT

Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim terus berangan-angan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker