PBB rayu bantuan AS$294 juta untuk ‘keperluan paling mendesak’ di Gaza, Tebing Barat

PBB rayu bantuan AS$294 juta untuk ‘keperluan paling mendesak’ di Gaza, Tebing Barat

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengumumkan rayuan kecemasan untuk bantuan AS$294 juta bagi menangani ‘keperluan paling mendesak’ di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, di mana lebih 400,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka sepanjang tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB memaklumkan dana berkenaan akan digunakan untuk membantu lebih 1.2 juta penduduk, sambil menjelaskan pergolakan di rantau terbabit ketika ini menyebabkan kumpulan bantuan kemanusiaan berdepan kekurangan sumber.



“Keperluan kemanusiaan bertambah dengan peningkatan ketegangan di Gaza pada Mei lalu, dan keadaan yang semakin buruk di Tebing Barat menyebabkan organisasi kemanusiaan tidak mempunyai sumber diperlukan untuk memberi respons secukupnya kepada pelbagai keperluan rakyat Palestin yang rentan,” menurut OCHA.

Hampir 60 peratus daripada isi rumah di Gaza sudahpun dilihat bergelut dengan ketidakselamatan makanan sebelum pergolakan terbaru sekarang tercetus.

Selepas Israel menyerang infrastruktur air dan menghentikan bekalan keperluan asas itu ke Gaza sejak Ahad lalu, OCHA berkata, sebahagian besar penduduk di Semenanjung Gaza terputus akses kepada air minuman daripada pembekal perkhidmatan atau air domestik melalui saluran paip.

“Malah, Dana Kanak-Kanak PBB (UNICEF) melaporkan keadaan itu menyebabkan sesetengah penduduk terpaksa mula minum air laut,” katanya.



Selain itu, menurut agensi berkenaan lagi, fasiliti kesihatan kini terlampau sesak dan stok perubatan kekurangan bekalan, manakala akses ke hospital serta penjagaan perubatan juga terhalang, akibat pergolakan yang sedang berlaku dan jalan raya rosak.

Ketika ini, katanya, ada kira-kira 50,000 wanita hamil di Gaza, termasuk anggaran 5,500 yang dijangka melahirkan bayi pada bulan depan, di mana mereka bergelut untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang penting tatkala petugas penjagaan kesihatan, hospital dan klinik turut diserang.

“Dalam pada kebanyakan tumpuan diberikan kepada Gaza, situasi di Tebing Barat juga kekal tegang,” kata OCHA sambil memaklumkan konfrontasi antara tentera rejim Zionis dengan rakyat Palestin, ‘keganasan pendatang dan sekatan meluas dikenakan di sekitar bandar-bandar di Tebing Barat’ telah menjejaskan akses kepada perkhidmatan penting.

Sementara itu menurut OCHA dalam satu kenyataan, hari ini, Israel membedil Gaza secara berterusan dengan serangan bom dari udara, laut dan darat.



“Banyak bangunan kediaman di kawasan berpenduduk padat telah disasarkan dan dimusnahkan dalam tempoh 24 jam lalu,” katanya.

Setakat lewat semalam, jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza meningkat hingga mencecah 423,378, menurut perangkaan OCHA.

OCHA berkata, lebih 270,000 atau dua per tiga daripada jumlah itu telah mendapatkan perlindungan di sekolah kendalian agensi PBB yang membantu pelarian Palestin, UNRWA.

Hampir 27,000 lagi melarikan diri ke sekolah yang dikendalikan Pihak Berkuasa Palestin, manakala lebih 153,000 orang berlindung di kediaman saudara-mara, jiran dan kemudahan awam lain.



Kempen pengeboman itu memusnahkan 752 bangunan kediaman dan bukan kediaman, meliputi 2,835 unit rumah, kata OCHA yang memetik perangkaan Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza.

Selain itu, hampir 1,800 unit rumah pula mengalami kerosakan yang tidak boleh dibaiki atau didiami lagi, manakala banyak kemudahan awam juga musnah akibat serangan terbabit.

Sekurang-kurang 90 kemudahan pendidikan mencakupi 20 sekolah bawah UNRWA dan 70 sekolah kendalian Pihak Berkuasa Palestin, turut rosak dalam serangan itu yang menyaksikan sebuah sekolah terbabit musnah sepenuhnya.

“Sebanyak 11 masjid juga disasar dan dimusnahkan, manakala tujuh gereja dan masjid mengalami kerosakan,” kata OCHA.



Sejak pertempuran terbaru meletus, enam telaga, tiga stesen pam air, sebuah kolam takungan air dan sebuah loji nyahgaram yang menampung keperluan lebih 1.1 juta penduduk, turut rosak akibat serangan udara. BH

PBB rayu bantuan AS$294 juta untuk ‘keperluan paling mendesak’ di Gaza, Tebing Barat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Kahwin wanita Kazakhstan tak perlu wang hantaran – Fadlan Hazim

Adik lelaki bongkar Shila Amzah jual rumah sebab duit

Jangan nanti malaikat maut pun kau maki

GV10: Sah Elly Mazlein undur diri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker