Resolusi DAP bertentangan doktrin ‘Malaysian Malaysia’

Resolusi DAP bertentangan doktrin ‘Malaysian Malaysia’

Oleh Azmi Hassan

‘Orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi kita merasa’. Berdasarkan peribahasa ini, tidak memeranjatkan apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid hadir pada Persidangan Tahunan DAP 2023 hujung minggu lalu di Putrajaya.

Ia seperti mengulangi episod kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung UMNO pada Jun lalu dan turut dihadiri pemimpin tertinggi DAP.

Berbeza dengan suasana Perhimpunan Agung UMNO yang mana ahli UMNO masih was-was dengan kehadiran perwakilan DAP yang kemuncaknya apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa DAP memohon kemaafan kesilapan lampau, tetapi sambutan diberi perwakilan DAP terhadap Ahmad Zahid pada persidangan parti itu adalah memberikan tepukan gemuruh bagaikan menyambut ketibaan ‘rock star’.

Hakikatnya gesaan Ketua Pemuda dalam perhimpunan sayap UMNO itu tanpa kehadiran wakil DAP dianggap sebagai antiklimaks kerana seharusnya gesaan seperti itu dilakukan secara terbuka atau lebih beradab perlu juga dilaksanakan secara bersemuka.

Sebab itu ucapan dasar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan parti itu mengambil pendekatan sederhana dalam melaksanakan dasar dan keputusan politik berpaksikan Perlembagaan menjadi lebih bermakna apabila diucapkan di hadapan kepemimpinan tertinggi UMNO.

Lebih menarik lagi apabila Loke menegaskan DAP bukan komunis, sebaliknya mengambil pendekatan politik mengamalkan doktrin ‘pertengahan kiri’ berasaskan ideologi sosial demokrasi. Amat difahami mengapa Loke memetik ungkapan komunis kerana parti itu sering dilabel sebagai mengamalkan fahaman komunis dan selain ahlinya turut dianggap sebagai komunis.

Ungkapan komunis ini dianggap sebagai pantang larang bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia kerana stigma negatifnya.

Lazimnya rakyat Malaysia tidak begitu terdedah dengan ideologi politik, sama ada pertengahan, kiri atau kanan dan sebab itu DAP mengamalkan ideologi pertengahan kiri tidak begitu mencuri perhatian, terutama dalam kalangan orang Melayu.

Stigma negatif komunis begitu menebal bukan kerana fahaman ekstrem kiri atau kanan, tetapi era darurat komunis bermula pada 1968 dan tamat pada 1989 melalui Perjanjian Perdamaian antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hat Yai, Thailand.

Perjuangan selaras undang-undang

Pendekatan ideologi pertengahan kiri diamalkan DAP lebih mudah difahami dalam kerangka senario politik tempatan apabila Loke menegaskan perjuangan parti itu mengikut lunas undang-undang, mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan prinsip Rukun Negara.

Tiga kata kunci ideologi pertengahan kiri ala DAP ialah Perundangan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, sama seperti amalan ideologi pertengahan kiri Parti Demokrat, Amerika Syarikat (AS) bersandarkan perundangan dan perlembagaan negara itu, manakala DAP ada tambahan iaitu penghayatan Rukun Negara.

Sebenarnya, apa yang ditegaskan Loke itu tiada yang baharu kerana semua terkandung dalam perlembagaan DAP. Cuma berlaku sedikit polemik apabila ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan DAP perlu menarik keluar ungkapan ‘Malaysian Malaysia’ terkandung dalam perlembagaan parti itu.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker juga seiring dengan pendapat Nur Jazlan yang mana konsep itu antara lain memerlukan penghapusan keistimewaan dimiliki Bumiputra seperti terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan.

Hakikatnya ideologi pertengahan kiri selari dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ iaitu semua rakyat Malaysia menikmati manfaat tanpa mengira status bangsa, agama atau kedudukan dalam masyarakat.

Konsep kesamarataan ini adalah fahaman berhaluan kiri, tetapi apabila dikekang peruntukan Perlembagaan dan Rukun Negara, maka secara menyeluruh ini adalah fahaman pertengahan kiri.

Perlembagaan DAP secara jelas akur bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, selari dengan peruntukan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Begitu juga dengan status agama Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak dinyatakan secara tersurat dalam perlembagaan DAP, tetapi apabila ia selari dengan Perlembagaan, maka secara tersurat atau tersirat, status agama Islam terpelihara.

Hujah sama dapat dipanjangkan dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ walaupun terkandung dalam perlembagaan parti itu, tetapi kekuatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sudah tentu melebihi perlembagaan mana-mana parti.

Jika diteliti sembilan resolusi persidangan DAP itu yang antaranya berkait dengan hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu yang menjadi isyarat kewajipan ahli dan pemimpinnya mempertahan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menghormati semangat Perlembagaan Merdeka 1957 serta Perjanjian Malaysia 1963, maka amat jelas resolusi ini bertentangan dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Hakikatnya juga DAP walaupun dari segi pemilikan jumlah wakil rakyat peringkat Persekutuan adalah paling dominan berbanding parti lain, DAP sebenarnya tidak banyak memiliki keistimewaan dominan dalam pembentukan dasar kerajaan disebabkan kekangan jawatan dimiliki mereka dalam Kabinet.

Begitu juga dalam pembentukan barisan EXCO dalam beberapa kerajaan negeri diperintah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Walaupun DAP memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak berbanding PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BN, keistimewaan tidak begitu berpihak kepada DAP.

Bukan rahsia lagi penyokong DAP tidak berpuas hati kerana parti itu dilihat terlalu bertolak ansur, terutama demi menjaga perasaan penyokong UMNO. Sementara itu, pada masa sama penyokong UMNO mentafsirkan DAP terlalu dominan dalam senario politik tanah air. Pertentangan persepsi sedemikian seharusnya menjadi reda sedikit susulan resolusi persidangan DAP baru-baru ini.

Ini menuntut kebijaksanaan pimpinan tertinggi PH dan BN untuk menanganinya serta bagaimana hendak mengendurkan ketegangan dalaman blok Kerajaan Perpaduan, terutama peringkat akar umbi jika mahu memastikan kestabilan politik negara berkekalan, sekali gus memulihkan persepsi rakyat kepada kerajaan dianggotai 19 parti berbeza ideologi dan fahaman. BH

Resolusi DAP bertentangan doktrin ‘Malaysian Malaysia’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

MP Ketereh merungut sedekah kematian pakai duit sendiri

Aku sondol laki orang sampai naik pelamin (Video)

Mat Saleh bengang Malaysia ‘rosakkan’ deria rasanya (Video)

Mondy dakwa Ebit Lew kotor

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker