Kalau tak salah apa yang Muhyiddin takut?
Kalau tak salah apa yang Muhyiddin takut?
Oleh Hishamuddin Aun
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa siasatan yang sedang berjalan ke atasnya satu lagi contoh siasatan terpilih untuk ‘memangsakan’ seorang pemimpin pembangkang.
Menggunakan peluang ketika membahaskan pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat semalam, beliau gesa kerajaan agar menghentikan siasatan ke atas pemimpin pembangkang atas alasan isu kaum, agama, dan raja (3R) yang didakwanya cuba menutup mulut rakyat.
Ringkas cerita, presiden Bersatu itu mahu memberi gambaran seolah-olah dirinya sering dianiayai.
Muhyiddin ulangi yang beliau hanya berkias menyebut “saya bagi hukum haram” mengundi calon Pakatan Harapan (PH) ketika ceramah perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru, 2 September lalu.
Dalam bahasa mudah, beliau mengakui menuturkan perkataan berkenaan tapi ia didakwanya telah disalahtafsirkan. Maknanya orang ramai tidak sepatutnya hanya mendengar tapi hendaklah juga membaca isi hati dan mindanya ketika itu, sama ada beliau bermaksud demikian, berseloroh atau seperti katanya sekadar berkias.
Cuba menjelaskan maksud sebenar beliau dalam satu ceramah lain pada 8 September, Muhyiddin kata kenyataan “haram” dikeluarkannya itu hanya bahasa santai dan tidak berdasarkan al-Quran atau fatwa.
“Kita orang Melayu cakap bahasa santai. Saya cakap pun orang ketawa. Dalam hati dia haram tak haram, kalau nak sokong, sokong juga.
“Haram Muhyiddin tak sama haram al-Quran dan fatwa. Itu bukan hukum, itu kenyataan yang ditekan jangan sokong. Bukan haram berdosa, itu pilihan maknanya jangan pilih,” katanya dalam ceramah grand finale kempen PRK Parlimen Pulai di Kempas.
Muhyiddin juga kata kenyataannya itu dipetik di luar konteks dan dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai. Cuma, beliau tidak pula kata siapa yang petik demikian atau siapa yang memanipulasi dengan niat untuk mengenakannya.
Kalau dapat diagak maksudnya itu, Muhyiddin seakan-akan menyalahkan media sebagai memanipulasi kenyataannya itu kerana beliau tidak pula mengaitkannya sebagai perbuatan sesiapa daripada Pakatan Harapan (PH) terhadap satu ceramahnya itu.
Bukanlah nak mempertahankan media dalam isu ini tapi alasan menyalahkan media sebagai memanipulasi, memutar belit atau memetik di luar konteks sesuatu ucapan sebenarnya sudah kerap didengar oleh mereka yang hendak melepaskan diri daripada bertanggungjawab.
Dalilnya sudah banyak kali media disaman kerana salah lapor, itupun sesudah enggan memohon maaf dan membetulkannya selepas diajukan surat tuntutan peguam. Tapi tidak ada pula tindakan seperti itu dalam isu Muhyiddin ini.
Yang tak pernah kita dengar ialah perakuan seorang ahli politik terhadap peranan berkesan yang dimainkan media. Selama ini pun, media tidak pernah menagih pengiktirafan seperti itu terhadap tanggungjawabnya.
Cuma, perlu juga ditanya ‘fatwa’ yang dibuat Muhyiddin itu disalah lapor atau disalah tafsir atau ditularkan menerusi video yang tidak pun disunting melainkan keseluruhan bahagian yang dimaksudkan?
Lagipun, siasatan ke atas Muhyiddin diumumkan sendiri Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
Ini berikutan polis menerima satu laporan di sebuah balai polis di ibu negara mengenai kenyataan Muhyiddin itu dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Maknanya polis memandang serius isu berkenaan dan mudarat yang boleh disebabkannya kepada ketenteraman awam, apatah lagi soal halal haram ini bukan perkara main-main di sebalik ia mungkin dianggap lumrah oleh mereka yang menunggang agama untuk laba politik.
Polis sudah mengambil kenyataan Muhyiddin pada Selasa dan Razarudin menjangkakan untuk melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara pada Khamis.
Sehari sebelum PRN enam negeri 12 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R ini. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat, kaum, atau agama yang sengaja mencetuskan isu itu hingga membawa suasana tidak harmoni.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis dimaklumkannya akan memantau semua, dengan Malaysia diingatkannya akan terus terumbang-ambing kalau perkara berkenaan dibiarkan berlarutan.
Muhyiddin, yang pernah duduk di kerusi perdana menteri (Mac 2020-Ogos 2021) pun harus tahu. Tidak salah untuknya menyuarakan keresahan orang Melayu dan masyarakat Islam dan pastinya tidak akan dianggap sebagai penjenayah, asalkan tahu had dan batasannya.
Lebih-lebih lagi jika tidak berbuat salah, beliau tidak harus takut menghadap pengadilan. FMT
Kalau tak salah apa yang Muhyiddin takut?
Baca Artikel Menarik:
- Saya dimadukan isteri
- Umno boleh kembali relevan jika bersama PH
- 15 MP tumbang, Speaker wajibkan semua jalani pemeriksaan
- Mahathir diarah fail pembelaan
- Nampak lurah, Ruhainies minta maaf
- Isham lebih tahu dari saya – Zahid
- Hadi ‘buat drama’, sanggup ke penjara
- Azhar Sulaiman minta Marissa dan Abby hubunginya
- Kenapa Shahidan, Syed Saddiq membisu bila Muhyiddin dibebaskan?
- Rider pulang jalan kaki, motosikal ditahan JPJ (Video)
- Gelekan ‘maut’ Baby Shima
- Jentera kerja keras, Isham tak bantu pun
- Polis cekup lima pelakon, pengarah filem lucah
- Perdana Menteri mana yang lantik Idrus Harun? Shahidan jangan ‘acah-acah’ lupa
Layari Laman Facebook MYKMU.NET