Rahmah Nabi SAW kepada bukan Islam

Rahmah Nabi SAW kepada bukan Islam

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri lalu dijelaskan maksud hadis Rasulullah SAW diperintahkan supaya ‘memerangi’ manusia ialah supaya menggesa mereka dengan sungguh-sungguh sehingga mereka mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sekiranya berlaku penentangan, maka baginda SAW dibenarkan untuk berjihad membalas penentangan itu dan tidak hanya berdiam diri. Ini kerana kesucian risalah yang dibawa perlu dipertahankan dalam misi menzahirkan kebenaran agama Islam dan mendirikan hukum Allah SWT di atas muka bumi.

Maksud ‘memerangi’ yang tidak boleh difahami secara literal juga terdapat dalam hadis lain, iaitu hadis Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu solat menghadap sesuatu yang membatasinya daripada orang ramai, lalu ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya, maka hendaklah dia mencegahnya. Jika dia enggan, maka perangilah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalimah ‘perangi’ dalam hadis ini bukan bermaksud betul-betul berperang, tetapi mencegahnya dengan bersungguh-sungguh. Ini disebabkan perbuatan orang yang melintas itu mengganggu konsentrasi solatnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan daripada Imam al-Qurtubi katanya: “Iaitu dia perlu menambah pada pencegahan yang kedua itu secara lebih tegas berbanding yang pertama.” Beliau juga menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa Imam as-Syafii menyatakan, maksud ‘perangi’ itu ialah pencegahan yang lebih tegas berbanding pencegahan yang pertama.

Maka, adalah tidak benar sama sekali pihak yang cuba menggambarkan Islam sebagai agama radikal dan ekstrem dengan sengaja memahami secara negatif Nabi SAW diperintahkan agar menyebarkan Islam secara kekerasan dan paksaan dengan memerangi umat manusia sehingga mereka memeluk Islam. Sedangkan, prinsipnya cukup jelas bahawa tidak ada paksaan dalam menerima agama Islam.

Kesungguhan Nabi SAW dalam menyampaikan dakwah Islam antara lain adalah kerana rahmah (kasih sayang) dan kerisauan baginda terhadap nasib umat manusia pada hari akhirat kelak. Baginda SAW bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmah yang dianugerahkan (oleh Allah untuk seluruh alam).” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan sanad sahih)

Lantaran itu, dalam menggesa manusia mengenal dan beriman kepada Allah SWT, baginda SAW menggunakan pelbagai pendekatan, baik secara lembut atau berhikmah mahupun secara tegas serta bermaruah sesuai dengan situasi. Banyak dalil membuktikan mereka yang tidak mahu menerima Islam tidak akan dipaksa menerimanya, malahan mereka dilindungi sekiranya mereka meminta perlindungan, membayar jizyah atau mengikat perjanjian damai.

Al-Allamah Dr Khalil Ibrahim Mulla Khatir dalam kitabnya Rahmah an-Nabi al-Karim SAW bil Kuffar (Bermaksud, sifat rahmah Nabi yang mulia SAW terhadap orang kafir) membawakan banyak bukti mengenai perkara ini. Antaranya, semasa penduduk Taif menolak dakwah Nabi SAW sehingga baginda diusir dan dilontar batu sampai berdarah, Allah SWT telah mengirim satu malaikat gunung kepadanya yang bersiap sedia untuk menghempapkan dua gunung ke atas mereka. Namun, Baginda SAW menolak dan bersabda: “Bahkan, aku berharap Allah akan mengeluarkan daripada tulang sulbi (keturunan) mereka nanti orang yang menyembah Allah yang Esa dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga berasa amat sedih sekali apabila pak ciknya, Abu Talib enggan mengucapkan kalimah syahadah sehinggalah dia meninggal dunia. Lalu baginda bersabda: “Adapun demi Allah, aku akan tetap memohon keampunan buatmu selama mana aku tidak dilarang.” Sehinggalah kemudian turun larangan Allah SWT kepada baginda daripada beristighfar kepadanya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketika Nabi SAW dikhabarkan kabilah Daus enggan menerima Islam, baginda tidak mendoakan kehancuran buat mereka sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian sahabat, sebaliknya Rasulullah mendoakan agar mereka diberikan petunjuk, sabdanya: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sifat rahmah baginda SAW juga jelas tertera dalam melindungi orang bukan Islam yang mempunyai ikatan perjanjian dengan Muslimin, hingga baginda memberi ancaman keras terhadap golongan Muslimin dengan sabdanya: “Sesiapa yang membunuh mu’ahid (bukan Islam yang telah mengikat perjanjian), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan baunya itu dapat dirasakan dari jarak perjalanan empat puluh tahun.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga bagi orang bukan Islam yang membayar jizyah, dengan sabdanya: “Sesiapa yang membunuh seseorang daripada ahli zimmah (bukan Islam yang membayar jizyah), dia tidak akan dapat memperoleh bau syurga sedangkan baunya itu sudah dapat dirasakan dari jarak perjalanan empat puluh tahun.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i dengan sanad sahih)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Rahmah Nabi SAW kepada bukan Islam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kakak wanita disondol anak pasangan pelakon beri respon

Marissa ‘kejar’ sehingga Aslam tak daya melawan , dakwa bekas isteri

Marissa pernah bersumpah tak akan menyondol lagi – Misya

Mencarut sebelum meninggal dunia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker