Hukum keluar bersama tunang

Hukum keluar bersama tunang

Soalan :

Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ingin bertanya bolehkah seorang wanita keluar bersama dengan tunangnya yang akan mendirikan perkahwinan tidak lama lagi ?Terima kasih.



Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا ‎﴿٣٢﴾‏ وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا



Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (32) Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab:32-33)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Ini adalah adab yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada para isteri Nabi , dan juga wanita-wanita yang lain juga diwajibkan mengikutinya. Rasulullah berkata kepada para istri-Nya dengan bahawa apabila mereka bertakwa kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan kepada mereka, maka tidak ada seorang wanita pun yang menyerupai mereka, dan tidak ada yang dapat menyamai mereka dalam keutamaan dan kedudukan. Kemudian beliau janganlah berkata kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) iaitu tidak berbicara dengan ajnabi dengan kata-kata yang mengandungi nada tertentu seperti berbicara dengan suami. (Lihat al-Quran al-A’zim, 6/408 )

Dalil di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan Isteri-isteri nabi dan wanita-wanita yang lain supaya menjaga maruah dengan tidak berbicara dengan kaum lelaki atau ajnabi dengan merendahkan suara iaitu dengan nada yang lembat.Yang demikian bagi mengelakkan fitnah antara lelaki dan perempuan ajnabi.



Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak halal bagi seseorang keluar dengan tunangnya tanpa ditemani oleh mahram. Ini kerana bagi mengelakkan sebarang fitnah yang timbul dan bagi menjaga marwah dan kehormatan sebagai seorang muslim. Ini sebagaimana Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu”.

Riwayat al-Bukhari (5233); Muslim (1341)



Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya.(Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109 )

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”



(Lihat Riwayat al-Tirmizi (2165)

Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan.(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320.)

Justeru dalam isu ini kami katakan ikatan pertunangan hanyalah ikatan janji ke arah mendirikan perkahwinan dan ia bukanlah satu ikatan yang menghalalkan perkara yang ditegah oleh syara’. Oleh yang demikian, status pertunangan sama sahaja seperti lelaki atau perempuan ajnabi dalam menjaga had batas pergaulan seperti tidak boleh bersentuhan, mendedahkan aurat dan berdua-duaan. Sekiranya ada keperluan untuk keluar dengan tunang disebabkan ada urusan-urusan yang penting, maka hendaklah ditemani oleh mahramnya seperti ahli keluarga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:



رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam. Utv
Kredit : Maktabah Al-Bakri

Hukum keluar bersama tunang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dr. Malar naik angin ejen pelancongan cakap tak serupa bikin

Teruk sangat jalan raya kami, Tuanku (Video)

Zul Ariffin kecewakan peminat kerana melawat Al Ula

Najib to Mahathir: “Give it a rest Atok!”

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker