Individu disyaki seludup pekerja asing ke lombong REE direman 28 hari

Individu disyaki seludup pekerja asing ke lombong REE direman 28 hari

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan seorang individu kini ditahan polis dan direman 28 hari kerana disyaki terbabit membawa pekerja warga asing bekerja di lombong haram unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Katanya, individu berkenaan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Mendedahkan perkara itu, beliau berkata, siasatan dilakukan selepas individu terbabit dipercayai menyeludup pekerja berkenaan melalui sempadan negara sebelum dibawa bekerja di lombong REE Bukit Enggang.

“Dia ditahan dan kini direman selama 28 hari, dia bawa pekerja dari luar negara dan tidak bayar gaji mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman dan Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH)/Barisan Nasional (BN) Kedah di Bandar Laguna Merbok di sini, malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama individu berkenaan, namun dipercayai warga tempatan yang turut ditahan dalam serbuan di tapak lombong REE pada 31 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammd Sanusi Md Nor juga tidak boleh mendakwa tidak mengetahui kewujudan dua warga China yang diambil bekerja di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) bagi melakukan aktiviti melombong REE.

“Sanusi menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri pada 31 Mac 2021, supaya individu berkenaan mendapat pas lawatan profesional untuk memasuki negara ini.

“Macam mana dia boleh tak tahu? Dia menandatangani surat yang mengandungi nama (warga China) di dalamnya.

“Jika Sanusi tidak tahu apa yang dia tandatangani, maka itu sangat berbahaya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut mempersoalkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah yang didakwa tidak melakukan sebarang siasatan ke atas kejadian kecurian REE di Bukit Enggang, Januari lalu.

Beliau berkata, kecurian 360 kampit REE pada 31 Januari itu dilaporkan pihak berkuasa lain, namun tiada tindakan dilihat diambil oleh Pengarah PTG Kedah setakat ini.

“Pada kejadian 26 September 2022, sebuah lori membawa 185 kampit REE ditahan pihak berkuasa. Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains serta PTG melancarkan siasatan dan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dikompaun kerana MBI yang memiliki permit ke atas Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang.

“Dalam tangkapan 31 Januari 2022, Jabatan Hutan dan Jabatan Imigresen melakukan serbuan lagi dan menahan 52 individu serta merampas 360 kampit REE.

“Mereka turut menahan seorang warga China yang semakan mendapati dia diambil bekerja di bawah MBI.

“Jabatan Perhutanan dan JMG kemudian melakukan siasatan dan kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat Pengarah PTG membabitkan kejadian kedua, sedangkan jabatan itu turut membuka kertas siasatan dalam kejadian kecurian pertama.

“Saya mahu tanya Pengarah PTG, individu pertama yang ditahan pada September 2022 bersama 185 kampit REE telah dikompaun, tetapi kejadian 360 kampit mengapa tiada tindakan siasatan?

“Soalan saya, dalam kejadian pertama kami keluarkan saman ke atas MBI, tetapi mengapa Enakmen Mineral Kedah tidak digunakan dalam kejadian 360 kampit REE yang ditemui dalam kejadian kedua?

“Sudah tujuh bulan, mengapa tiada sebarang siasatan dibuat. Siapa yang kamu cuba lindungi?” katanya. BH

Individu disyaki seludup pekerja asing ke lombong REE direman 28 hari

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Norish Karman bibir tebal kerana botox?

Isteri nak buat kejutan

Dato Malik bebas dengan jaminan

Hari Asyura, kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker