Tenang bila tahu hidup berbaki enam bulan

Tenang bila tahu hidup berbaki enam bulan

Melaka: Percaya ajal maut, adalah ketentuan Allah, membuatkan Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, terus ‘tersenyum’ apabila diberitahu dirinya hanya ada enam bulan untuk hidup.

Bekas pesakit kanser itu mengakui jangkaan hayat hidupnya itu diberitahu oleh doktor selepas dirinya disahkan menghidap kanser darah pada tahun 2015.



Katanya, berbeza dengan pesakit lain yang mungkin berasa bimbang atau beremosi, dia meneruskan rutin kehidupan seperti biasa selain berfikiran positif serta optimis dengan dugaan itu.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba daripada apendiks kemudiannya selepas pembedahan, saya dikatakan ada masalah buah pinggang dan tiga bulan juga berada di hospital sebelum disahkan menghidap kanser darah.

“Selain reda dengan ujian diberikan, mungkin juga yang membuatkan saya beranggapan tiada apa-apa kerana saya fikirkan ketika itu kedua insan penting dalam hidup iaitu emak dan nenek sudah tiada, jadi saya terima apa sahaja ketentuan,” katanya ketika ditemui di Kota Fesyen, Ayer Keroh, di sini.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, selama enam tahun menjadi seorang survivor kanser hanya arwah abang dan rakan baiknya yang mengetahui keadaan kesihatan dirinya.



“Dalam saya berjuang melawan kanser rupanya abang saya terlebih dahulu disahkan menghidap kanser sama, tetapi dia merahsiakan hal itu.

“Dalam tempoh enam bulan itu saya bekerja seperti biasa dan saya juga merahsiakan daripada pengetahuan rakan serta ahli keluarga yang lain kerana tidak mahu orang simpati atau sedih.

“Jauh di sudut hati, saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana masih diberi peluang untuk terus bernafas sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurutnya, selepas enam tahun berjuang dan disahkan bebas kanser dua tahun lalu, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah sebelum memutuskan membuka Restoran Serambi Emak bersama rakan baik Kamal Hamidi Ali, 31.



“Oleh kerana kami berdua sudah tiada ibu dan masakan arwah adalah sesuatu yang dirindui jadi kami bersepakat membuka restoran sebagai ingatan buat kedua mereka.

“Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan selepas dua bulan beroperasi dengan ketengahkan menu utara sebagai hidangan utama antaranya gulai batang pisang, nasi daging air asam, dan laksa mampu menambat hati pelanggan,” katanya. HM

Tenang bila tahu hidup berbaki enam bulan

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah dah macam Ira Kazar pulak

Jasmine dedah fantasi sebenarnya



ND Lala ajak beraya, Sabtu ini, netizen suruh balik beraya dengan isteri pertama



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker