Pertabalan Raja Charles III, 10 fakta menarik yang perlu diketahui

Pertabalan Raja Charles III merupakan antara detik paling penting dalam sejarah monarki Britain. Seluruh dunia akan melihat monarki baharu itu dimahkotakan. Berikut 10 fakta menarik mengenai istiadat tersebut.

1. Pertabalan berlangsung pukul 11 pagi (waktu tempatan) 6 Mei 2023

Istiadat hujung minggu itu berlangsung antara Sabtu hingga Isnin 8 Mei 2023.

Esok, Raja Charles III dan Queen Consort Camilla akan dimahkotakan secara rasmi dalam istiadat khusus di gereja Westminster Abbey. Queen Consort Camilla akan memakai gelaran rasmi Queen Camilla semasa upacara tersebut.

Acara itu akan dihadiri ramai pemimpin dari seluruh dunia dengan berbilion-bilion penonton akan menontonnya di kaca televisyen.

2. Hidangan rasmi istiadat pemahkotaan adalah quiche.

Raja Charles III dan Permaisuri Camilla mengumumkan bahawa quiche atau tart Perancis sebagai hidangaan rasmi istiadat pertabalan mereka.

3. Rakyat Britain diberikan cuti tambahan sempena pertabalan Raja Charles III  

Rakyat Britain mendapat cuti peristiwa pada Isnin 8 Mei 2023. Ini kerana Hari Pertabalan jatuh pada hari minggu iaitu Sabtu, justeru, kerajaan memberikan satu hari cuti tambahan untuk meraikan hari bersejarah tersebut.

Ini bermakna sekolah dan institusi pengajian lain di samping pejabat kerajaan serta kebanyakan premis perniagaan akan ditutup.

4. Majlis pertabalan diadakan di Westminster Abbey, London.

Istiadat pertabalan monarki baharu akan berlangsung di Westminster Abbey, London. Gereja berusia 900 tahun itu menjadi tempat di mana istiadat pertabalan, perkahwinan dan pengebumian monarki Britain diadakan sejak ratusan tahun dahulu.

5. Laluan perarakan pertabalan Raja Charles III lebih pendek berbanding pemahkotaan Ratu Elizabeth II 

Pada tahun 1953, perarakan pemahkotaan Ratu Elizabeth II adalah lebih 8 kilometer dan mengambil masa dua jam.

Kali ini, laluan perarakan Raja Charles III dan Permaisuri Camilla cuma 2 kilometer atau satu perempat jarak perarakan untuk Ratu Elizabeth II.

Mereka akan melakukan perjalanan dari Istana Buckingham Palace dengan menaiki kereta kuda khas dinamakan Diamond Jubilee State Coach.

Perarakan tersebut akan melalui The Mall menuju ke dataran Trafalgar Square sebelum ke Whitehall serta Parliament Street dan berakhir di Westminster Abbey.

6. Terdapat banyak tradisi yang akan diikuti semasa pertabalan.

Pada permulaan upacara Pertabalan, Paderi Besar Canterbury akan memasyhurkan Raja Charles III kepada orang ramai.

Seterusnya, Raja Charles III akan mengangkat sumpah untuk melindungi Gereja England dan undang-undang negara.

Kemudian, baginda akan duduk di kerusi kayu lama dinamakan Kerusi Pertabalan. Kerusi itu dibina pada tahun 1300. Selepas itu, baginda akan diberikan sfera emas besar dan cogan alam.

Akhirnya, Raja Charles III dinobatkan dengan memakai mahkota istimewa. Baginda akan naik takhta dan semua orang akan berlutut untuk menunjukkan rasa hormat mereka. Permaisuri Camilla akan melalui istiadat sama.

 

7. Raja Charles III akan memakai Mahkota St Edward dan Permaisuri Camilla memakai Mahkota Ratu Mary.

Raja Charles III akan dinobatkan menurut tradisi diraja selama berabad-abad iaitu dengan memakai Mahkota St Edward.

Ia dinamakan sempena Raja Inggeris yang digelar St Edward the Confessor dan telah digunakan untuk memahkotakan raja-raja Inggeris sejak tahun 1300-an.

Versi baharu mahkota ini dibuat pada tahun 1661, kerana mahkota lama telah dileburkan semasa Perang Saudara.

Mahkota semasa diperbuat daripada emas padu dan bertatahkan 244 batu permata.

Permaisuri Camilla akan memakai Mahkota Ratu Mary yang diperbuat daripada emas dan perak serta mempunyai 2,200 butir berlian padanya.

 

8. Raja Charles III meminta 12 pemuzik untuk menghasilkan muzik istiadat pertabalan.

Raja Charles III telah meminta 12 pemuzik khas untuk mencipta muzik baharu untuk pertabalan baginda di Westminster Abbey.

Ini adalah peluang untuk menunjukkan bakat beberapa komposer dan pemuzik terbaik Britain.

Istana Buckingham mengumumkan bahawa pertabalan Raja Charles III akan menampilkan lagu baharu oleh Andrew Lloyd Webber dan 11 karya lain yang dicipta khas untuk Raja Charles III oleh komposer Britain.

 

9. Terdapat 2,000 orang sebagai tetamu.

Raja Charles III mengadakan majlis pertabalan lebih sederhana berbanding pertabalan Ratu Elizabeth II. Mendiang mempunyai 8,251 tetamu, manakala Raja Charles III cuma menjemput 2,000 orang.

Baginda turut mengundang monarki lain ke majlis tersebut seperti Putera Albert dari Monaco.

Terdapat juga orang kenamaan lain seperti wakil kerajaan dan kerabat diraja.

 

10. Raja Charles III memiliki lambang pertabalan

Raja Charles mendedahkan lambang pertabalan khas. Ia direka oleh Sir Jony Ive yang pernah bekerja di syarikat Apple. Lambang itu mempunyai bunga dari empat negeri yang membentuk United Kingdom iaitu mawar dari England, thistle dari Scotland, dafodil dari Wales dan shamrock dari Ireland Utara.

Semua bunga itu digulung bersama untuk kelihatan seperti Mahkota St. Edward’s manakala warna Union Jack digunakan. Lambang ini diletakkan pada banyak perkara yang berbeza termasuk barang pertabalan.

Sumber: AGENSI

Pertabalan Raja Charles III, 10 fakta menarik yang perlu diketahui

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah dah macam Ira Kazar pulak

Jasmine dedah fantasi sebenarnya

ND Lala ajak beraya, Sabtu ini, netizen suruh balik beraya dengan isteri pertama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker