Ramadhan bulan rahmat, keampunan, kelepasan daripada api neraka
DOSA orang yang berpuasa akan diampunkan .
Ramadhan bulan rahmat, keampunan, kelepasan daripada api neraka
Antara hadis yang popular dalam bulan Ramadan berbunyi: “Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan daripada api neraka.”
Dari aspek takhrij dan seni hadis, ia diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA oleh Ibn Abi ad-Dunya dalam Fada’il Syahr Ramadhan, Ibn ‘Adi dalam al-Kamil dan lain-lain. Juga diriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA oleh Ibn Abi ad-Dunya dalam Fada’il Syahr Ramadhan, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, al-Baihaqi dalam Fada’il al-Awqat dan lain-lain.
Sanad hadis Abu Hurairah RA dianggap daif kerana terdapat Maslamah bin al-Salt yang dinilai majhul (tidak dikenali sebagai ahli riwayat). Manakala sanad hadis Salman RA pula terdapat Yusuf bin Ziyad al-Basri yang munkar hadisnya dan ‘Ali bin Zaid yang dinilai ramai pengkritik hadis sebagai daif, sedangkan menurut sebahagian pengkritik seperti al-Tirmizi, al-‘Ijli, Ya’qub bin Syaibah, Ibn ‘Adi dan as-Saji, riwayatnya masih boleh diambil kira.
Apapun, riwayat mereka disokong oleh jalur riwayat lain di sisi as-Syajari dalam al-Amali al-Khamisiyyah, di mana riwayat Yusuf bin Ziyad disokong oleh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah. Manakala riwayat ‘Ali bin Zaid disokong oleh Qatadah bin Di’amah, seorang yang thiqah. Malah, di dalam Musnad al-Harith bin Abi Usamah, hadis ini diriwayatkan melalui jalur riwayat lain, tidak melalui jalur Yusuf bin Ziyad dan ‘Ali bin Zaid. Namun, ia dinilai munkar oleh Imam al-‘Aini. Ringkasnya, jalan-jalan riwayat hadis tersebut saling sokong menyokong antara satu sama lain dan menguatkannya.
Dari aspek kandungannya pula, ada yang menolak hadis ini dengan hujah ia bercanggah dengan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa seluruh bulan Ramadan itu adalah bulan rahmat, keampunan dan kebebasan daripada api neraka, tidak dibahagikan tiga.
Menurut hemat penulis, sebenarnya ia tidak bercanggah sekiranya dijelaskan dengan tafsiran yang munasabah sebagai pengukuhan terhadap kelebihan bulan Ramadan yang cukup besar. Mari kita amati apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (wafat 795H) dalam kitab Lata’if al-Ma’arif.
Katanya: “Bulan Ramadan adalah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan daripada api neraka. Ini diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui hadis Salman al-Farisi RA yang dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, dan juga diriwayatkan daripada Baginda melalui hadis Abu Hurairah RA yang dikeluarkan oleh Ibn Abi ad-Dunya dan lain-lain.
“Bulan ini juga keseluruhannya adalah bulan rahmat, keampunan dan kelepasan. Justeru, disebutkan dalam hadis sahih: “Sesungguhnya dibukakan padanya pintu-pintu rahmat.” Dan juga terdapat dalam riwayat al-Tirmizi dan lain-lain: “Sesungguhnya ada bagi Allah orang-orang yang dilepaskan daripada api neraka dan itu berlaku pada setiap malam.”
“Tetapi yang lebih mengatasi di awalnya ialah rahmat dan ia adalah bagi orang-orang yang berbuat baik dan bertakwa. Firman Allah Taala: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (al-A’raf: 56). Dan firman Allah Taala: “Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa.” (al-A’raf: 156). Maka, dilimpahkan kepada orang-orang yang bertakwa di awal bulan tersebut limpahan rahmat dan keredaan serta dikurniakan kepada orang-orang yang berbuat ihsan kelebihan dan belas ihsan.
“Adapun pertengahan bulan, maka yang lebih mengatasi padanya ialah keampunan. Maka akan diampunkan padanya orang-orang yang berpuasa, meskipun mereka melakukan sebahagian dosa kecil, namun tidak menghalang mereka daripada memperoleh keampunan, sebagaimana firman Allah Taala: “Dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu amat melimpah keampunan-Nya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka.” (al-Ra’d: 6)
“Adapun akhir bulan, maka akan dibebaskan daripada api neraka orang yang dirantai oleh dosanya dan patut masuk ke neraka kerana melakukan dosa-dosa besar. Disebut dalam hadis Ibn ‘Abbas RA: “Ada bagi Allah pada setiap malam daripada bulan Ramadan iaitu ketika berbuka, satu juta orang yang dilepaskan daripada api neraka, yang mana setiap mereka patut masuk ke neraka. Apabila tibanya malam terakhir bulan Ramadan pula, Allah akan melepaskan pada hari tersebut sebanyak bilangan yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehinggalah akhirnya.” Ia dikeluarkan oleh Salamah bin Syabib dan lain-lain.
Menurut al-Hafiz al-Munziri dalam at-Targhib wa at-Tarhib: “Diriwayatkan oleh Abu as-Syaikh Ibn Hibban dalam kitab at-Thawab dan al-Baihaqi serta tiada pada sanadnya perawi yang disepakati daif.” Walaupun statusnya daif, namun praktis al-Hafiz Ibn Rajab menunjukkan ia harus digunakan sebagai penjelasan kepada hadis yang dibicarakan.
Ramadhan bulan rahmat, keampunan, kelepasan daripada api neraka
Baca Artikel Menarik:
- Isteri ND Lala fail cerai
- Najib petik hujah Rahman Sebli untuk pengampunan diraja
- Diana Danielle : Kalau sayang betul pada anak, kenapa nak buang bin atau binti anak?
- Pulanglah Zalina
- Diana dedah punca fail cerai terhadap Farid Kamil
- Hidayah dakwa disihir sejak menjadi balu arwah Abam
- Harjit Singh Hullon, 45 tahun baca berita RTM
- Kumpulan doktor kontrak bidas ugutan ingin mogok
- Pemimpin Umno kalah pemilihan bawa lari ‘harta’ parti, dedah Zahid
- Kami bukan scammer bawa jemaah – CEO Emraz
- Karipap berkulat, Vendor mengaku kitar semula karipap tak laku
- Penemuan cakar misteri seperti spesies dinosor buat pakar haiwan keliru
- Pengantin perempuan buat kecoh mahu berkahwin lain di balai polis
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Yana Najib kongsi ‘surat SPRM’ mengenai Nazlan lepas semakan SRC ditolak