PSG tetap waspada ancaman Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara

PSG tetap waspada ancaman Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara

PSG tetap waspada ancaman Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara
Pemain Paris Saint-Germain, Vitinha pada sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara UEFA di Campus Paris Saint-Germain, Poissy, Perancis. – Foto Reuters

Paris: Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Vitinha menegaskan pasukannya tetap berwaspada terhadap ancaman Liverpool menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara walaupun kelab England itu hadir dalam prestasi kurang meyakinkan.

Menurutnya, Liverpool tetap sebuah pasukan besar dan berbahaya walaupun tidak berada pada tahap terbaik ketika ini.

“Liverpool tetap Liverpool, walaupun mereka tidak berada dalam prestasi ideal. Mereka masih sebuah pasukan yang hebat,” katanya kepada pemberita menjelang aksi di Parc des Princes, awal pagi esok.

Vitinha berkata, PSG perlu berada pada tahap 100 peratus jika mahu mengatasi cabaran Liverpool dalam perlawanan itu, sebelum aksi timbal balik di Anfield minggu depan.

Pertemuan itu mengulangi aksi pusingan 16 terbaik musim lalu apabila Liverpool menang 1-0 di Paris, namun PSG bangkit menang dengan jaringan sama di Anfield sebelum mara menerusi penentuan penalti.

PSG kemudian muncul juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah, manakala Liverpool pula menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Arne Slot bergelut untuk mencari semula rentak terbaik musim ini dan hadir ke Paris selepas dibelasah Manchester City 4-0 dalam aksi suku akhir Piala FA hujung minggu lalu.

Liverpool juga hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan kini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris, sekali gus menyaksikan peluang mereka ke Liga Juara-Juara musim depan masih belum terjamin.

Vitinha turut mengimbau pertemuan musim lalu yang menurutnya cukup luar biasa, terutama selepas PSG tewas di Paris meskipun beraksi lebih baik.

“Masih ada sedikit rasa kecewa daripada perlawanan pertama itu. Saya tidak ingat Liverpool mempunyai peluang selain gol yang mereka jaringkan di penghujung permainan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Wanita Bukti Ketahanan Tinggi, Tonggak Pemulihan Ekonomi Negara – Noraini


“Kami bermain dengan baik tetapi tetap kalah. Saya masih ingat saya kata jika kami bermain seperti itu, kami boleh pergi ke Liverpool dan menang.

“Mujurlah kami melakukannya, tetapi itu cerita tahun lalu. Tahun ini berbeza, kedua-dua pasukan sudah berubah. Banyak perkara boleh berlaku dalam bola sepak dalam tempoh setahun, jadi ini pasti akan menjadi perlawanan yang berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penyerang Perancis Hugo Ekitike bakal kembali ke Paris untuk menentang bekas kelabnya selepas melalui tempoh 18 bulan yang kurang menjadi di sana antara 2022 hingga 2024.

Ekitike kini muncul penjaring terbanyak Liverpool musim ini dengan 17 gol dan prestasi semasanya turut meletakkan dia dalam persaingan untuk mengisi tempat utama skuad Perancis ke Piala Dunia.

“Hugo seorang yang hebat. Saya gembira pernah bermain bersamanya selama setahun. Kamu boleh lihat kualiti yang dia ada walaupun ketika itu bukan persekitaran yang sesuai untuknya.

“Saya doakan yang terbaik untuknya kecuali dalam dua perlawanan ini,” kata Vitinha.

Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique memberi bayangan pasukannya bakal turun tanpa dua tonggak penting apabila Fabian Ruiz masih belum pulih daripada kecederaan lutut, manakala Bradley Barcola juga dijangka terlepas aksi walaupun sudah kembali menjalani latihan.

“Fabian masih belum berlatih bersama skuad, jadi bagaimana dia boleh bermain? Dia menunjukkan banyak peningkatan dan kami sangat gembira. Itu membuktikan dia berada di landasan tepat, tetapi dia masih perlukan masa,” kata Enrique.

Mengulas status pasukannya sebagai pilihan, Enrique enggan terlalu yakin.

“Mustahil untuk mengatakan satu pasukan itu pilihan. Tahun lalu semua orang kata Liverpool adalah pilihan, tetapi pasukan yang mara ialah Paris Saint-Germain,” katanya.

PSG tetap waspada ancaman Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

UMNO 80 Tahun: Kekuatan Akar Umbi Terus Jadi Teras Perjuangan – Dr Ahmad Maslan

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker