Syawal anugerah Allah rai kejayaan Ramadan

Oleh Fahimi Zakaria

SYAWAL yang menjelang saban tahun dalam kehidupan kita wajib diraikan sebagai hadiah istimewa daripada Allah SWT setelah kita berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Selepas kita merasai lapar dan dahaga kerana Allah, selepas kita berpenat-penatan kerana-Nya, selepas kita menahan nafsu syahwat daripada perkara yang membatalkan puasa kerana-Nya, maka tibalah Syawal sebagai anugerah besar daripada Allah ke atas mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan.

Firman Allah: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang bertakwa.” (al-Baqarah: 183) Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampuni segala dosanya yang lalu.” (al-Bukhari dan Muslim) Berdasarkan dalil awal
di atas, maka kita dapati dua perkara besar daripada ibadah puasa ialah menjadi orang bertakwa dan mendapat keampunan daripada Allah.

Pertama, bertaubat bersungguh-sungguh khususnya pada malam hari raya. Ramadan peluang keemasan membersihkan diri daripada segala dosa sama ada dosa besar atau kecil, dosa terang-terangan atau tersembunyi, dosa yang sengaja atau terlupa, dosa lampau atau akan datang. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi penerima taubat.

Biarlah kita keluar dari Ramadan dalam keadaan dosa diampun. Sebaliknya kita termasuk dalam kalangan orang celaka seperti doa malaikat yang diaminkan oleh baginda ketika sedang menaiki mimbar. Salah satu doa yang diaminkan baginda ialah: “Celaka orang berpeluang memasuki Ramadan, lalu dia keluar dari Ramadan sedangkan tidak mendapat keampunan Allah.” (Ibnu Hibban)

Kedua, bersyukur atas nikmat Syawal. Syukur juga dengan maksud memperbanyakkan takbir dan zikir membesarkan Allah yang mengurniakan kesempatan kita bertemu Ramadan, seteruskan meraikan Syawal. Inilah saranan khusus daripada Allah: “Dan setelah kamu selesai berpuasa, maka hendaklah kamu membesarkan Allah dengan nikmat (Syawal) ini supaya kamu menjadi orang yang bersyukur.” (al-Baqarah: 185) Lafaz takbir mengandungi maksud syukur yang sangat mendalam sebagai hamba yang berterima kasih kepada penciptanya iaitu Allah.

Menurut Syeikh Muhammad al-Sabuni ketika menafsirkan maksud syukur pada ayat 185 di atas, beliau mengatakan kita mengucapkan terima kasih kepada Allah kerana dikurniakan dua perkara iaitu kelebihan ganjaran Ramadan dan belas kasih-Nya kepada kita hamba yang banyak dosa (Safwah al-Tafasir).

Penulis pensyarah Management & Science University (MSU)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker