Kenapa saya perlu berhutang untuk bayar hutang tertunggak?

Kenapa saya perlu berhutang untuk bayar hutang tertunggak?

“Kenapa saya perlu berhutang untuk membayar hutang tertunggak? Saya perlukan wang tetapi tidak sanggup menanggung faedah yang dikenakan bank apatah lagi dalam situasi ekonomi ketika ini,” kata Nurul Najjat Mohd Yusof.

Nurul Najjat, 37, yang juga seorang kerani berkongsi pandangannya mengenai langkah membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank bagi membuat pinjaman peribadi.



Katanya, kaedah cagaran dicadangkan kerajaan itu disifatkannya seperti menjerat leher pencarum yang terdesak.

Menurutnya, dia mahu menyelesaikan masalahnya termasuk tunggakan hutang dengan pengeluaran wang sendiri melalui caruman KWSP dan bukannya membuat pinjaman wang daripada bank atau mana-mana pihak.

“Sebelum ini pihak berkenaan menggalakkan rakyat tidak berhutang tetapi sekarang sebaliknya pula. Saya tak bersetuju dengan cadangan itu kerana apa gunanya berhutang dengan mencagarkan KWSP sedangkan kami boleh keluarkan duit sendiri.

“Saya sudah tidak sanggup membuat pinjaman dan pastinya kadar faedah ketika ini juga akan semakin tinggi dan akhirnya tiada penyelesaian apabila rakyat terus berhutang,” katanya.



Pekerja sektor perkapalan, L Amalraj, 34, pula berkata setakat ini dia tidak bercadang mengeluarkan wang carumannya, namun mengakui cadangan yang diumumkan kerajaan tidak membantu rakyat.

“Seperti tidak logik kerana kaedah itu dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak saja dan pencarum pula yang perlu menanggung beban faedah yang menambah hutang mereka.

“Saya berpandangan biarlah pencarum yang betul terdesak mengeluarkan wang mereka tetapi boleh dihadkan peratusan pengeluaran wang itu kerana kita sedia maklum KWSP adalah simpanan untuk hari tua nanti,” katanya.

Bagi Robo Ding, 44, dia berpandangan kaedah itu dapat membantu mana-mana pihak yang sebelum ini tidak layak membuat pinjaman dengan bank kerana tidak melepasi syarat sebelum ini.



Bagaimanapun katanya, tidak menafikan kaedah itu tidak sesuai untuk semua rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan caruman sedikit.

“Cadangan ini adalah jalan alternatif untuk mereka yang terdesak berbanding meminjam daripada ceti haram yang akan memudaratkan kehidupan kelak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas yang membantah cadangan pengeluaran KWSP secara kaedah kolateral.

“PGIRM juga sudah mendapat makluman daripada peguam kami bahawa di dalam Akta KWSP di bawah Seksyen 51, menyatakan deposit caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga.



“Justeru cadangan itu akan membebankan rakyat yang sedia maklum tuntutan pengeluaran kecemasan bersasar itu bertujuan menyelesaikan hutang yang tertunggak daripada pihak bank, pinjaman syarikat kredit, ceti haram, pinjaman kenalan terdekat dan permasalahan lain yang sedang dihadapi oleh rakyat sekarang ini,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilapor berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman peribadi.

Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

KWSP dalam kenyataan hari ini menyebut pihak maklum dengan pengumuman Anwar dan sedang meneliti dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai cagaran untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.



“KWSP ambil maklum perkembangan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” kata kenyataan itu. HM

Kenapa saya perlu berhutang untuk bayar hutang tertunggak?

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perompak dan peraba kemaluan gadis penjual ketum diburu Polis [VIDEO]

Lelaki beri anjing makan roti sapu mentega cuit hati orang ramai [VIDEO]

Pengarah Mentega Terbang menghadap Bukit Aman

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker