Selepas Papa Gomo, bila mahu siasat Waytha Moorthy?

Selepas Papa Gomo, bila mahu siasat Waytha Moorthy? tanya Dr. Asyraf

Ketua Pemuda Pergerakan UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan pihak berkuasa yang masih belum mengambil tindakan ke atas Menteri di Jabatan perdana Menteri, P. Waytha Moorthy walaupun lebih 150 laporan polis telah dibuat.

Dr. Asyraf melontarkan pertanyaan tersebut berikutan penahanan blogger Papa Gomo ataupun nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan yang dikeluarkan dalam media sosial.

“Papagomo ditahan selepas menerima 17 laporan polis ke atasnya. Bila pula nak tahan Menteri P. Waytha Moorthy yang menerima lebih 150 laporan polis?

“Exco DAP V. Ganabatirau yang mengapikan perkauman isu kuil dan turut menerima laporan polis, bila nak ditahan? Prinsip ‘Rule of Law’ model Malaysia baharu kerajaan Pakatan Harapan mesti dilaksanakan,” kata Dr. Asyraf dalam satu hantaran di Facebook.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan polis telah menahan Wan Muhammad Azri semalam selepas blogger itu memuat naik video berbaur hasutan dalam laman sosial.

Katanya, tindakan serupa juga akan diambil pada mana-mana pihak yang didapati cuba menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Siapa sahaja yang disyaki memainkan sentimen perkauman dan melakukan perkara-perkara yang membelakangi prinsip perundangan dan Perlembagaan wajar disiasat secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka,” tegas Dr. Asyraf.

Utusan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/selepas-papa-gomo-bila-mahu-siasat-waytha-moorthy-tanya-dr-asyraf-1.796904#ixzz5YK8KnYDL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker