Terengganu larang orang politik beri kuliah, ceramah, khutbah

Terengganu larang orang politik beri kuliah, ceramah, khutbah

Semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara dilarang memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Turut dilarang ialah penyampaian khutbah Jumaat.

Menurut kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

“Semua ahli yang berhormat sama ada ahli dewan undangan negeri, ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu,” katanya.

Bagaimanapun menurut Shaikh Harun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Sebelum ini Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut mengeluarkan arahan agar pihak masjid dan surau di negeri tersebut melarang mana-mana ahli politik daripada menyampaikan ceramah atau kuliah.

Larangan tersebut dibuat bagi memelihara kesucian tempat ibadah Islam daripada dicemari politik kepartian.

Ekoran larangan itu Mais menarik balik tauliah yang pernah diberikan kepada beberapa tokoh politik.

Menurut Shaikh Harun arahan larangan tersebut – yang bertarikh 2 Mac – dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kata Shaikh Harun masjid merupakan institusi agama yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, selain menjadi simbol perpaduan umatnya. Justeru katanya ia perlu dimakmurkan sebaik mungkin.

Masjid dan surau, katanya, tidak boleh sama sekali digunakan untuk sebarang kegiatan yang menimbulkan keresahan atau perselisihan dalam kalangan masyarakat.

“Ia termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian.

“Sultan menzahirkan rasa dukacita dengan situasi penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah atau pengajaran agama di masjid dan surau, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran Maidam,” katanya.

Shaikh Harun turut mengarahkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di Terengganu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar dan khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah daripada Maidam.

Pada masa sama, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dikehendaki membuat pemantauan atas arahan yang dikeluarkan supaya ia dapat dipatuhi. Mk

Terengganu larang orang politik beri kuliah, ceramah, khutbah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul, lepaskan saya – Puteri Sarah

Mentega Terbang, Jakim diarah ambil tindakan – Menteri

Cubaan sabotaj kerajaan, Hadi Awang dikecam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker