Jemaah Menteri tak boleh anggap Agong sekadar ‘rubber stamp’

Jemaah Menteri tak boleh anggap Agong sekadar ‘rubber stamp’, kata peguam kanan

Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dianggap sebagai “rubber stamp” semata-mata oleh Jemaah Menteri mengenai hal perlembagaan terutama berhubung pembatalan Ordinan Darurat, kata dua peguam kanan.

Mereka berkata, walaupun Agong harus bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, baginda mempunyai kewajipan perlembagaan untuk dilaksanakan.



Bastian Pius Vendargon berkata, Agong berhak meminta untuk melihat dokumen Jemaah Menteri dan semua maklumat yang ada dengan kerajaan supaya baginda dapat berpuas hati memberi perkenan atas nasihat.

“Sesiapa yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan faham semangat Perlembagaan Persekutuan tahu bahawa Agong bukan sekadar ‘rubber stamp’,” katanya.

Vendargon mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang semalam bahawa pembatalan Ordinan Darurat itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Memetik Perkara 40 (1A) Perlembagaan, PMO berkata Agong “sedia maklum bahawa baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri”.



Vendargon berkata, menganggap badan eksekutif boleh bertindak sebelum mendapat perkenan diraja adalah salah tafsiran mengenai fungsi Perlembagaan.

“Ada langkah-langkah yang harus diambil bagi pembatalan Ordinan Darurat secara sah,” katanya, sambil menambah, Agong harus memberi perkenan dan “tidak boleh dianggap (memberi perkenan)”.

Katanya, peristiwa sejak Isnin nampaknya menunjukkan bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat dan Agong wajib menerima nasihat Perdana Menteri.

Jemaah Menteri, tambahnya, tidak boleh sepenuhnya memansuhkan proses semak dan imbang dalam Perlembagaan, dan itu termasuk peranan Agong, Parlimen dan badan kehakiman.



Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang bersetuju dengan pandangan Vendargon, menegaskan pendiriannya bahawa Agong tidak dikehendaki bertindak atas nasihat Jemaah Menteri semasa darurat.

“Agong mempunyai kewajipan perlembagaan untuk dilaksanakan dan perkenannya tidak boleh dianggap dalam keadaan darurat,” katanya.

Firoz Hussein berkata, memandangkan Agong yang mengisytiharkan darurat dan Ordinan Darurat, hanya baginda yang boleh membatalkannya.

Jemaah Menteri tidak boleh menggantikan baginda, katanya, kerana jika ia cuba dilakukan, itu adalah kegagalan mematuhi perlembagaan berkenaan pembatalan.



Beliau berkata, peraturan 30 hari berkaitan penguatkuasaan rang undang-undang Parlimen tanpa perkenan Agong tidak boleh diguna pakai untuk perisytiharan dan Ordinan Darurat.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat pada 21 Julai mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak pembangkang mendakwa “pembatalan rahsia” itu adalah untuk mengelak perbahasan dan undian mengenainya kerana itu akan membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Semalam, Istana mengeluarkan kenyataan bahawa Putrajaya tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat dan kenyataan Takiyuddin di Parlimen adalah “tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat”.



Dalam kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Perkara 150(2B) yang dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan Darurat terletak pada Agong.

Menurutnya, dalam satu majlis menghadap secara maya, Agong menitahkan Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun agar cadangan pembatalan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen. FMT

Jemaah Menteri tak boleh anggap Agong sekadar ‘rubber stamp’


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker