Teknologi mengukur khusyuknya ibadah seseorang
Teknologi mengukur khusyuknya ibadah seseorang
Dalam sebuah konvensyen fiqh dan teknologi yang pernah dihadiri, seorang pembentang mensimulasikan kajiannya berhubung kaedah pengukuran ibadah menggunakan teknik Biofeedback. Seorang peserta diminta naik ke pentas untuk menguji teknik itu. Lalu peserta tersebut dipakaikan dengan sensor dan alat pengukur yang disambungkan kepada komputer.
Melalui bacaan data dari komputer menunjukkan sensor yang melibatkan hati dan emosinya berada di paras julat 100 dengan warna kemerahan. Skala ini menunjukkan peserta berada dalam emosi yang tidak stabil kerana berasa gemuruh, takut atau berdebar. Lalu peserta diminta untuk berzikir dengan tahmid, takbir dan tahlil dalam nada yang sekata dan suara yang perlahan.
Dalam tempoh beberapa minit sahaja, skala julatnya mula menurun ke paras yang lebih rendah, sehingga berubah menjadi warna hijau. Ini menunjukkan bacaan zikir tersebut memberi kesan pada emosi dan hatinya untuk kembali tenang.
Melihatkan situasi itu maka teringat ayat 28 dari surah Ar-Rad’,
“(Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteram hati manusia.”
Sememangnya, ramai yang mendirikan solat, tetapi ramai juga yang masih gagal mencegah diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Mereka gagal menjaga akhlak, peribadi serta hati untuk patuh dan tunduk dengan syariat Islam yang syumul.
Mereka gagal mencegah diri daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Dan mereka juga gagal mendidik hati agar bersifat mahmudah sebagaimana yang dituntut dalam Islam.
Seolah-olahnya solat yang didirikan tidak langsung memberi kesan pada diri mahupun hati. Sedangkan dalam surah al-Ankabut: 45 dengan jelas Allah berfirman
“Solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
Permasalahan ini menjadikan umat Islam bingung dan tertanya, mengapa wujud pertentangan antara janji Allah dengan realiti yang berlaku ketika ini. Solat lima waktu tidak pernah ditinggalkan, tetapi perbuatan cela tetap juga diamalkan.
Adalah sangat mustahil, bahkan cukup besar dosa mengatakan al-Quran itu berdusta kerana ia merupakan kalimah Allah azza wajalla. Lalu tidak lain, ia pastinya berpunca daripada pendekatan ibadah solat yang didirikan, tidak mencapai tahap kesempurnaan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh junjungan besar Baginda s.a.w. Dan, kerana itu jugalah antara sebab utama mengapa ibadah seperti solat tidak memberi kesan pada diri dan rohani.
Justeru itu, bagi mendapatkan kesempurnaan ibadah sehingga mampu memberi kesan perubahan terhadap diri dan spiritual (rohani) menepati dengan firman Allah yang disebut di atas, maka terdapat pelbagai teknik digunakan untuk mengukur aspek spiritual dalam ibadah seperti alat ukur psikometri dan biofeedback.
Menurut Prof. Madya Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab, Penyelaras Makmal Biofeedback, Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui teknik ini, kita dapat mengukur kesan amalan kerohanian setiap individu dalam ibadah solat, zikir, dan pembacaan al-Quran kepada hati, akal, perasaan dan tubuh.
Tambahnya lagi, di dalam diri setiap manusia sememangnya terdapat lima komponen spiritual utama yang memberi fungsi membezakan manusia, dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Komponen tersebut ialah roh, akal, emosi, nafsu dan hati.
Dari lima komponen utama itu, hati merupakan raja yang mengawal kesemua komponen di atas. Bagi membuktikan hati mengawal semua komponen tersebut, satu analogi yang boleh dijelaskan dalam proses seorang yang hendak mencuri barang di sebuah kedai.
Manusia yang waras mengetahui mencuri merupakan satu kesalahan, memahami akibat dan kesan dari mencuri dan proses yang dilalui untuk mencuri.
Akal mengetahui proses mencuri dan memikirkan teknik yang sesuai. Roh berupaya menggerakkan kaki dan tangan untuk mencuri. Emosi merasai kesakitan jika ditangkap mencuri atau sedapnya air yang diminum dari wang yang dicuri.
Nafsu menghendaki wang kerana ia akan memenuhi banyak kehendak yang selama ini terpendam. Hasil daripada keputusan komponen tadi dan rangsangan yang diberikan, maka hati yang akan membuat keputusan sama ada untuk melakukan kerja mencuri atau tidak.
Sekiranya hati membuat keputusan meneruskan mencuri, maka semua komponen rohani akan bekerjasama untuk melaksanakannya. Sebaliknya, jika keputusan yang dibuat oleh hati tidak mahu mencuri, maka komponen rohani akan bekerja untuk perkara yang lain. Maka itu hati perlu sentiasa dalam keadaan suci dan bersih agar ia tidak terdorong untuk melakukan perkara yang menjadi kemurkaan Allah.
Ciri hati takwa
Dalam surah al-Baqarah ayat dua hingga lima Allah telah menentukan tanda-tanda yang menjadi skala kepada sifat rohani individu, dengan menjelaskan ciri hati yang mempunyai sifat takwa. Mafhum Nya,
“Kitab al-Quran ini tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada yang ghaib dan yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian harta yang diberikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada kitab yang telah kami turunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya. Serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang yang beruntung.”
Jelas Dr. Muhammad Nubli, dalam ayat itu, Allah menjelaskan ciri takwa yang ada pada hati manusia. Takwa adalah komponen rohani yang tidak boleh dilihat oleh manusia. Namun ciri-ciri hati yang suci dan bertakwa boleh dilihat dan dikesan oleh manusia melalui tindakan dan perbuatan mereka.
Sebenarnya terdapat banyak lagi ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menjelaskan keadaan iman atau takwa yang menjadi komponen rohani. Walau bagaimanapun ciri orang yang beriman boleh dilihat oleh manusia. Untuk itu, pengukuran iman dibuat melalui sejauh mana ciri-ciri penghayatan terhadap iman berkenaan.
Sama jua keadaannya dalam mengukur sifat khusyuk ketika solat dan berzikir. Khusyuk merupakan komponen rohani yang tidak boleh dilihat. Walau begitu, ciri khusyuk boleh diterjemahkan melalui amalan dan tindakan individu yang bersolat, seperti keadaan fisiologi yang tidak bergerak-gerak, kedudukan solat yang tenang, tidak terkesan dengan keadaan persekitaran sewaktu menunaikan solat. Bahkan sampai satu tahap tidak merasa sakit ketika anak panah dicabut semasa menunaikan solat dan seumpamanya.
Dalam hal ini, Imam al-Ghazali menjelaskan ciri khusyuk roh ketika solat melalui kisah Muslim bin Yassar. Satu hari, beliau sedang mendirikan solat di masjid Basrah, dan secara tiba-tiba dinding masjid runtuh. Namun Muslim tidak mendengar hiruk pikuk keadaan berkenaan dan meneruskan solat dengan tenang.
Dari kisah itu kita jelas bahawa apabila berada dalam khusyuk maka segala yang berlaku dipersekitaran tidak kita endahkan kerana hati dan minda telah fokus kepada sesatu perkara sahaja. Wallahu a’lam Utv
Teknologi mengukur khusyuknya ibadah seseorang
Baca Artikel Menarik:
- Fadhli dan Peja tak sepakat dalam kes penggantungan Hanis
- Khairy minta bantuan ChatGPT cari parti sesuai untuknya
- Adun DAP mahu universiti longgarkan kod berpakaian
- Tak elok bila menang lupa janji, Hassan tegur Anwar
- Doktor disyaki cabul pesakit kanak-kanak ditahan polis
- Tidak perlu lekat ‘road tax’ di cermin untuk kenderaan persendirian
- Dakwaan beri kontrak pada syarikat menantu, Muhyiddin melompat
- Tak perlu bawa lesen memandu secara fizikal
- Bekas Duta sifatkan pelantikan Nazri sebagai Duta AS hasil ‘pertimbangan buruk’ Anwar
- Anak Razman dedah punca ayahnya mohon maaf kepada Anwar
- Anak JJ gagal tuntut saham RM1 bilion
- Zahid jawab rungutan Ismail
- Digital road tax not a smart move
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Kantoi bercium di kelab malam, kekasih pelakon tuntut janji (Video)