Aminuddin sedia bincang dengan PAS

Aminuddin sedia bincang dengan PAS

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyuarakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di tiga negeri ditadbir PAS bagi membincang dan menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang jemputan daripada PAS untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Setakat ini saya belum menerima jemputan lagi (dari pemimpin PAS), tapi kita kalau dijemput bila-bila masa, kita bersedia untuk mengadakan perbincangan (mengenai tarikh PRN),” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Jamuan Mesra Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di Hotel Royal Chulan di sini.

Aminuddin diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu akan berbincang dengan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor bagi menetapkan tarikh PRN untuk diadakan serentak.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, perbincangan secara tidak rasmi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari dan Aminuddin sudah diadakan akhir tahun lalu, namun keputusan tarikh PRN belum ditetap dan dimuktamadkan.

Menteri Besar Terengganu itu menegaskan perbincangan secara rasmi perlu diadakan bersama Kon Yeow, Amiruddin dan Aminuddin.

Mengulas lanjut kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan menetapkan sendiri tarikh PRN, Aminuddin berpandangan bahawa PRN itu harus dijalankan serentak di enam negeri yang terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, berkata keperluan diadakan serentak adalah bagi mengurangkan kos logistik dan lain-lain keperluan.

“Dalam keadaan sebegini kita harus bijaksana untuk mengatur dan menetapkan tarikh PRN, apalah salahnya kita bersama mengadakan pilihan raya ini agar ia mudah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tugasnya.

“Malah ia dilihat lebih baik dan tersusun dan saya berharap ia dapat memberikan kebaikan kepada semua pengundi di negeri terbabit, yang belum mengundi bagi PRN sekali gus dapat melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat yakin jika PRN dijalankan serentak, ia akan memudahkan pengundi setiap negeri untuk turun mengundi beramai-ramai.

“Seperti juga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, jadi kita berharap PRN ini dapat memberi kemudahan dan impak yang besar dari segi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi sekali gus dapat meraikan demokrasi,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin menyatakan bahawa pihaknya bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN pada Mei depan.

PRN membabitkan enam negeri terbabit perlu diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini. BH

Aminuddin sedia bincang dengan PAS

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker