Saksi tidak curiga dana besar diterima akaun Najib dari sumber tidak sah
Saksi tidak curiga dana besar diterima akaun Najib dari sumber tidak sah
Bekas pegawai Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mencurigai dana dengan jumlah yang besar diterima Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011 dan 2012 datang daripada sumber tidak sah kerana ia dimasukkan dalam akaun bank Perdana Menteri.
Saksi pendakwaan ke-41, Joanna Yu yang ketika itu bertugas sebagai Pengurus Perhubungan Ambank yang bertanggungjawab menguruskan akaun Najib, berkata beliau bagaimanapun mungkin tidak mengetahui dengan lanjut mengenai sumber wang itu.
Joanna yang menjawab soalan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata beliau juga tidak berasa teragak-agak bahawa wang berkenaan yang dimasukkan dalam dua akaun peribadi Najib, adalah daripada sumber sah.
Saksi itu berkata, walaupun tidak berasa sangsi mengenai sumber dana berkenaan, beliau masih meminta pengesahan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) atau pemegang mandat akaun Najib, iaitu Ketua Pegawai Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil mengenainya.
“Mereka beritahu ia adalah hadiah dan ada surat sokongan berhubung dana itu,” katanya.
Sementara itu, Joanna bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pegawai atasannya, Pengarah Urusan Kumpulan Ambank ketika itu, Cheah Tek Kuang Chia juga tidak mencurigai sumber wang berkenaan.
Muhammad Shafee: Jika (Teck Kuang) curiga sudah tentu beliau akan minta anda lakukan sesuatu bukan?
Joanna: Ya
Muhammad Shafee: Tidak ada orang pun yang curiga dengan sumber dana itu termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) yang ada kaitan dengan Kementerian Kewangan. Jadi adakah kamu terkejut jika PM pun tidak curiga dengan wang itu?
Joanna: Tidak
Muhammad Shafee: Najib dikategorikan sebagai individu yang terdedah secara politik (PEP), jadi sudah tentu dia akan diteliti oleh komuniti perbankan antarabangsa?
Joanna: Saya tak tahu tapi beliau adalah PEP
Muhammad Shafee: Sudah tentu anda tahu beliau diteliti di peringkat antarabangsa?
Joanna: Ya
Muhammad Shafee: Akaun Najib diawasi untuk menentukan dana diterima bukan dari sumber tidak sah?
Joanna: Ya
Muhammad Shafee: Ambank dan anda syak jika dana dari sumber tidak sah sudah tentu ambil tindakan dengan beritahu BNM?
Joanna: Ya
Sementara itu, pendakwaan menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan surat yang menyatakan Najib menerima hadiah dan derma daripada Arab Saudi adalah palsu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, berikutan dapatan ketiga-tiga mahkamah berkenaan empat surat itu tidak boleh diterima dan ditanda sebagai eksibit dalam perbicaraan kes 1MDB.
“Dokumen palsu tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah,” katanya.
Ahmad Akram berkata demikian ketika membantah permohonan Muhammad Shafee untuk menandakan surat dan dokumen berkenaan sebagai eksibit.
Dapatan itu dibuat mahkamah dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dalam perbicaraan sebelum ini, peguam bela Najib mengemukakan surat hadiah yang menyatakan bahawa Najib dijanjikan hadiah wang tunai oleh kerabat diraja Arab Saudi yang juga bekas Gabenor Provinsi Madinah, Abdulaziz bin Majid Al Saud, sebagai menghargai peranan bekas Perdana Menteri itu.
Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Abdulaziz turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. BH
Saksi tidak curiga dana besar diterima akaun Najib dari sumber tidak sah
Baca Artikel Menarik:
- Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]
- MCA semakin terasing hanya mampu menang di kerusi majoriti Melayu
- Kedudukan Anwar tidak terjejas jika empat kerusi Parlimen perlu dikosongkan
- Jho Low memang suka ‘petik’ nama orang kenamaan- Joanna
- Perlembagaan GRS peruntuk keahlian terus individu, kesatuan antara parti – Armizan
- Ismail nafi jumpa Muhyiddin di Jakarta, arah peguam saman fitnah
- Sanusi beritahu Anwar, jumpa di mahkamah
- Mayat berulat dalam rumah
- Melampau! Kepala babi diletakkan di atas bumbung masjid
- Wanita Indon dikecam netizen Malaysia kerana perlekeh Bahasa Melayu
- Arab Saudi mahu bina bangunan tertinggi di dunia dengan kadar ketinggian 2 kilometer
- Pemutihan UMNO perlu untuk elak Langkah Sheraton 2.0 berulang
- Zizan Razak Bagi Amaran Dekat Dara & Janda
- Syafiq Abdullah mahu saman ‘pihak menganiaya’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET