Toreh kepala polis

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal cedera di kepala selepas bergelut dengan lelaki dikehendaki yang cuba melarikan diri dari ditahan.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika suspek berusia 42 tahun datang ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan bahawa isterinya tidak pulang ke rumah sejak 12 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, lelaki itu dikesan sebagai orang dikehendaki selepas pemeriksaan kad pengenalan suspek dilakukan oleh pihak polis.

“Lelaki terbabit dikesan mempunyai rekod dikehendaki polis atas kes ugutan jenayah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Taiping, Perak.

“Bimbang dicekup, suspek cuba melarikan diri bagaimanapun, dia ditahan anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, semakan mendapati, isteri suspek membuat laporan di Balai Polis Kemunting kerana mengugut dengan kapak.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya.

Katanya, akibat pergelutan yang berlaku, anggota polis berusia 34 tahun itu menerima lima jahitan di kepala akibat luka ditoreh oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai dua rekod dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Julai untuk siasatan lanjut,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker