Anifah lawan Mohamad Alamin di Kimanis?

Anifah lawan Mohamad Alamin di Kimanis?

Parti Cinta Sabah (PCS) yang dipimpin bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, memberi bayangan akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ia berikutan, kenyataan terbaharu parti itu yang dikeluarkan Timbalan Presidennya, Datuk Ansari Abdullah, semalam, menyuarakan kemungkinan berkenaan meskipun sebelum ini dilaporkan Anifah akan menyokong calon Barisan Nasional (BN).

Ansari berkata, langkah parti itu mengambil kira apa yang pernah dijanjikan di hadapan rakyat Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) 2020.

Beliau mendakwa, sudah berulang kali rakyat Sabah dijanjikan pengembalian semula hak 100 peratus seperti yang termaktub dalam Laporan Jawatan Kuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun apabila berkuasa perkara itu tidak pernah berlaku.

“Pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 dan PRN 2020 tetapi yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan.

“Oleh itu, atas desakan serta permintaan rakyat Sabah khususnya di Kimanis, saya boleh jamin bahawa PCS hampir pasti bertanding di Parlimen Kimanis pada PRU15 ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau bagaimanapun, tidak menyebut siapa calon yang akan diletakkan PCS di Kimanis, sama ada Anifah yang pernah menyandang kerusi berkenaan dari 2004 hingga 2019 atau orang lain.

Ansari berkata, tujuan PCS bukan untuk merebut jawatan atau ganjaran kerana apa yang penting bagi parti itu adalah mendapatkan hak rakyat Sabah seperti yang termaktub secara keseluruhannya dalam MA63 dan Laporan IGC 1962.

Katanya, PCS mendapat tawaran daripada pelbagai pihak namun hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti atau individu yang boleh membantu mencapai matlamat PCS dan bukan hanya berjanji kosong.

“Anak Sabah masih bergelut mencari pekerjaan dan rezeki di bumi sendiri, seolah-olah pendatang di negeri dan negara sendiri. Mungkin sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arah ke pakatan baharu demi kepentingan dan hak rakyat Sabah,” katanya.

Pada Program Gelombang Biru BN di Kimanis baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin selaku penyandang kerusi Kimanis yang dinamakan semula sebagai calon BN pada PRU15, berkata Anifah ada memaklumkan menyokongnya bertanding di Kimanis.

Kenyataan itu membawa maksud bahawa Anifah tidak akan bertanding semula di kerusi berkenaan, namun kenyataan terbaharu PCS semalam menunjukkan situasi sebaliknya.

Berikutan itu, kerusi Parlimen Kimanis dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Mohamad (BN), Dr Daud Yusof (WARISAN), Rowindy Lawrence (PH-UPKO) dan calon PCS. BH

Anifah lawan Mohamad Alamin di Kimanis?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Halloween di Arab Saudi petanda bencana umat akhir zaman

Apa yang perlu diketahui tentang tragedi Halloween Itaewon?

Seluar tertanggal atas pentas bukan punca Tom tersingkir dari GV9

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker