Sah atau tidak empat pemimpin ‘heavyweight’ BN digugurkan, tunggu dan lihat..
SHAH ALAM – Semakin menghampiri hari penamaan calon pada Sabtu ini, semakin hangat juga spekulasi melibatkan beberapa pemimpin ‘heavyweight’ daripada BN digugurkan daripada menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
Biarpun senarai rasmi siapa calon BN untuk 222 kerusi Parlimen belum diumumkan, namun timbul dakwaan sebahagian besar anggota Kabinet dari BN yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak disenaraikan.
Antaranya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).
Nama lain yang dikatakan tidak disenaraikan ialah bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas).
Timbul beberapa persoalan adakah mereka digugurkan kerana tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; adakah kerana prestasi kurang memuaskan; ditolak penyokong di peringkat bahagian atau sudah berusia.
Bagi mengisi kekosongan kerusi-kerusi berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad atau Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki antara dua nama yang diperkatakan menggantikan Annuar di Parlimen Ketereh.
Tempat Shahidan pula dikatakan bakal digantikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar, manakala Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib dipercayai akan menjadi calon BN menggantikan Dr Adham.
Bagi Parlimen Kota Tinggi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hampir pasti menggantikan Halimah.
Difahamkan, Tajuddin pula bakal digantikan oleh bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro bagi mewakili BN, pada PRU15 nanti.
Bagaimanapun, usaha Sinar Premium untuk mendapatkan pengesahan daripada Annuar, Shahidan, Dr Adham dan Halimah gagal kerana mereka tidak menjawab panggilan telefon.
Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, beliau tidak terkejut jika tokoh seperti Annuar, Shahidan dan Tajuddin digugurkan daripada menjadi calon BN pada PRU15 kerana mereka sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pendirian parti dan Presiden UMNO.
Beliau berkata, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk mengeluarkan watikah dan menentukan sesiapa sahaja yang layak menjadi calon pada PRU15 nanti.
“Saya berpandangan Presiden UMNO sudah menilai banyak aspek sebelum membuat keputusan dan ada kemungkinan tindakannya akan menyatukan semula UMNO. Ini kerana di mata rakyat BN sekarang berpecah kepada dua puak iaitu satu pasukan menyokong Ismail Sabri dan satu lagi menyokong Zahid.
“Ini tidak baik kerana rakyat melihat UMNO sekarang sedang berpecah tetapi kalau Ahmad Zahid hanya mencalonkan orang sehaluan dengannya, bermaksud UMNO sekarang menjadi satu,” ketika kepada Sinar Premium pada Isnin.
Jelas Mazlan lagi, jika benar keputusan itu dibuat, ia akan memberikan sokongan baharu kepada UMNO untuk mendapat mandat daripada rakyat.
“Rasional Presiden UMNO ‘membuang’ nama besar daripada menjadi calon BN adalah kerana mereka tidak sehaluan. Oleh itu, saya melihat Ahmad Zahid adalah seorang Presiden parti yang sangat kuat biarpun berdepan pelbagai kritikan dan krisis dalaman.
“Adalah penting Ahmad Zahid ditonjolkan sebagai seorang pemimpin yang kuat dan menjadi calon serta memimpin UMNO dengan lebih berkesan. Bagaimanapun, saya tidak menafikan akan ada rasa tidak puas hati di kalangan penyokong yang tidak dicalonkan namun ia sekadar seperti air kopi dalam cawan yang akan hilang begitu sahaja apabila diminum,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, tindakan BN menukar muka lama kepada orang baharu sebagai calon PRU15 bukan fenomena baharu, malah turut berlaku dalam gabungan parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Malah, Sivamurugan berkata, DAP dan PKR sendiri sudah mengumumkan keputusan beberapa nama besar dan digantikan dengan muka baharu untuk bertanding atas tiket PH.
“Jadi dalam konteks BN, kita tahu bahawa Pengerusi BN mempunyai kuasa untuk menentukan nama pemimpin yang bakal bertanding pada PRU15 selepas perbincangan dengan ‘top five’ UMNO.
“Saya melihat tindakan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan politik parti di bawah pimpinan Presiden UMNO walaupun ada penyokong muka lama mendakwa ketua mereka patut dikekalkan sebagai calon pada PRU15 ini.
“Bagaimanapun, Presiden UMNO mungkin mempunyai percaturan sendiri dalam menggugurkan muka lama berkenaan. Pada masa sama, BN juga perlu mengambil langkah segera untuk meredakan kemarahan dan ketidakpuasan hati penyokong UMNO di mana ketua mereka digugurkan daripada menjadi calon PRU15,” katanya.
Sivamurugan berkata, tindakan itu perlu bagi meredakan kegelisahan penyokong penyandang kerusi BN sedia ada bagi mengelakkan berlakunya undi protes sekali gus menyebabkan gabungan itu kalah PRU15 nanti.
“Isu sabotaj dalaman oleh pemimpin yang tidak tercalon bukan perkara baharu dan sering berlaku setiap kali PRU tiba. Jadi dalam keadaan sekarang, BN perlu memastikan semua individu yang digugurkan daripada menjadi calon tidak mensabotaj kempen penggantinya dan sentiasa setia dengan parti,” katanya.
Dalam pada itu, Sivamurugan juga menolak kemungkinan pemimpin parti yang digugurkan daripada menjadi calon akan melompat dan bertanding atas tiket bebas kerana mereka masih sayangkan UMNO.
“Oleh kerana mereka sudah lama dengan UMNO, maka mereka mungkin akan kekal bersama parti biarpun mereka mungkin kecewa dengan keputusan dibuat pimpinan tertinggi BN,” katanya.
Sivamurugan berpandangan, BN dijangka masih berpeluang untuk mempertahankan kubu kuat UMNO berkenaan dengan syarat tiada sabotaj daripada bekas penyandang kerusi Parlimen terbabit, semasa kempen PRU15 nanti.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan berkenaan tepat kerana membuka peluang kepada BN untuk mengetengahkan orang baharu yang jauh lebih muda dan berwibawa, selari dengan kehendak pengundi muda serta janji dibuat Presiden UMNO, sebelum ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pengguguran muka lama berkenaan mempunyai kaitannya dengan prestasi mereka yang kurang cemerlang semasa menjadi Menteri Kabinet dalam kerajaan sebelum ini.
“Saya yakin Presiden UMNO sudah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesannya sebelum memutuskan untuk menggugurkan muka lama dan menggantikannya dengan orang baharu sebagai calon BN pada PRU15 nanti.
“Penyokong UMNO di luar sana mesti terima perubahan dan pertukaran calon jika mereka mahu memastikan BN dapat mempertahankan kerusi berkenaan.
“UMNO sendiri kena buat kerja lebih bagi memperkenalkan dan meyakinkan pengundi di luar sana mengenai kredibiliti dan kemampuan pengganti muka lama berkenaan. Jika tidak peluang BN mempertahankan kerusi terbabit mungkin tipis,” katanya.
Baca Artikel Menarik:
- Kerjasama dengan Mahathir tak membantu, dia tak boleh tarik undi Melayu
- Rasa tiada harga diri jika kekal dalam perkahwinan – Ziana Zain
- Gelak Kak Lina serupa ‘Mak Lampir’
- Video perempuan dibelasah kenalan lelaki timbulkan kemarahan
- PKR hipokrit bila 2 menteri besar bertanding Parlimen – Asyraf
- Ismail beri bayangan manifesto BN ada ‘tawaran besar’ buat pengundi muda
- Rosakkan kolam Deepavali, lelaki dikecam
- Pemuda PH kata kali ini manifiesto adalah ‘Kitab Suci’, cukuplah sekali kena ‘kencing’
- Ahli PAS yang sayangkan MN sokong BN tolak PN – Dr. Khairuddin Aman Razali
- Amanah gigit jari, selepas Jerai, Changkat Jong pula jadi habuan DAP
- Naib Presiden Bersatu, Rafiq Naizamohideen sah letak jawatan keluar parti
- Bukan main sombong, ingat dia boleh menang, Mahathir bengang
- Padah tipu suami, dua wanita ditangkap khalwat lelaki Bangladesh
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Seluar tertanggal atas pentas bukan punca Tom tersingkir dari GV9
You must be logged in to post a comment.