Jangan haramkan konsert, cuma perketat garis panduan

Jangan haramkan konsert, cuma perketat garis panduan

Memang sukar untuk membendung naluri dan fitrah remaja secara menyeluruh terutama apabila ia membabitkan keinginan mereka untuk berhibur, kata anggota In Team, Muhammad Hazamin Harun.

Namun, katanya, ia masih boleh dikawal dan antara kaedah yang boleh diambil ialah kerajaan mengetatkan lagi garis panduan berhubung penganjuran konsert.

Misalnya, kata Hazamin, melalui Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) agar sebarang unsur negatif dalam kalangan anak muda dapat dikekang.

“Pertama, kita kena faham hiburan adalah fitrah manusia dan sukar untuk membendungnya terutama bagi golongan remaja.

“Kita tak boleh nak sekat 100 peratus keinginan mereka untuk menonton konsert apatah lagi negara ini mempunyai masyarakat majmuk, jadi biarlah ada garis panduan yang sesuai mengikut acuan kita.

“Sama ada artis barat atau K-pop, tak timbul masalah. Cuma, kegusaran itu timbul apabila artis berkenaan membawa ideologi LGBT misalnya.

“Namun, saya percaya kerajaan boleh kawal perkara yang sewajarnya melalui Puspal, agensi tersebut harus menimbang sebelum meluluskan sesuatu permohonan penganjuran konsert artis luar,” jelasnya.

Asingkan penonton ikut jantina

Kata Hazamin juga, walaupun keinginan anak muda tidak boleh disekat sepenuhnya, golongan itu wajar diberikan pilihan untuk berhibur.

“Kita hidangkanlah pilihan hiburan untuk mereka, misalnya Inteam Records yang akan menganjurkan Konsert Nasyid Legenda pada 29 Okt ni,” katanya.

Selain itu, menurut Hazamin, ibu bapa turut memainkan peranan penting membantu dan mendidik anak-anak untuk menjaga akidah mereka.

Ibu bapa, tambahnya, patut memberi panduan kepada anak masing-masing untuk memilih minat mereka.

“Kalau boleh, mak, ayah bawa anak datang ke konsert nasyid walaupun dia tahu anak minat benda lain, mungkin di situ ada ketenangan dan wujud pandangan berbeza.

“Tak dinafikan, anak-anak ni sekalipun disekat kemahuannya, mereka tetap akan cari jalan lain untuk dengar dan tonton apa yang disukai,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Nasyid Legenda di Petaling Jaya baru-baru ini.

Terdahulu, Pemuda PAS memberi amaran mereka tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan di seluruh negara jika penganjuran konsert artis luar negara yang datang “bertalu-talu” terus dibenarkan diadakan di sini.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan membatalkan konsert artis antarabangsa yang dianggap menggalakkan penularan budaya hedonisme serta tidak bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu membuat kenyataan tersebut selepas Billie Eilish mengadakan konsert Happier Than Ever, The World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.

Antara pihak lain turut membantah konsert artis AS itu ialah Gerakan Belia 4B Kebangsaan yang menyelar Puspal kerana meluluskan konsert berkenaan meskipun penyanyi terbabit dikenali sebagai pro-Israel dan gerakan LGBT.

Hazamin juga mencadangkan agar penonton diasingkan mengikut jantina semasa mereka menghadiri sesebuah konsert dan ia boleh dilakukan selepas kajian mengenainya dibuat.

“Pengasingan jantina lelaki dengan wanita sangat baik untuk dilaksanakan, cuma agak susah untuk diimplementasi,” tuturnya.

Sementara itu seorang lagi anggota In Team, Abdul Rahim Osman, berkata, menyekat kemasukan artis antarabangsa secara mutlak bererti menyekat kemasukan idea persembahan kreatif dari luar.

Menurutnya, sekiranya seseorang artis luar itu tidak membawa sebarang ideologi bertentangan Islam, sepatutnya penganjuran konserti berkenaan tidak menjadi masalah.

“Kita juga dapat pelajari bagaimana infrastruktur baru atau dari segi teknologi persembahan dari luar selama mana kita masih menjaga norma sebagai tuan rumah,” katanya. Mk

Jangan haramkan konsert, cuma perketat garis panduan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Khairy bertanding di Seremban? Pasti panas

Siasat Rizal Mansor segera – Kadir

Anwar beritahu polis jangan ganggu Rafizi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker