Abdul Razak Musa dilantik Peguam Cara Negara baharu

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Pengerusi Lembaga  Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Razak Musa telah dilantik sebagai Peguam Cara Negara  (SG) baharu bagi mengantikan Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang bersara minggu depan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hari ini mengesahkan pelantikan Abdul Razak yang akan memulakan tugas baharu tersebut mulai 14 Julai ini.

Tugas SG adalah membantu Peguam Negara dan mengikut undang-undang boleh menjalankan tugas-tugas yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Seksyen 40A kepada Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah subseksyen 376 (2) Kod Prosedur Jenayah, SG mempunyai kuasa seperti Timbalan Pendakwa Raya dan boleh berfungsi sebagai Pendakwa Raya ketika Peguam Negara tidak bertugas.

SG juga bertanggungjawab untuk tugas-tugas sivil, temu ramah, pengrekrutan, peralihan, kenaikan pangkat dan tugasan lain yang diarahkan oleh Peguam Negara.

Abdul Razak akan dibantu oleh SG II, Datuk Siti Zainab Omar.

Abduk Razak, 58, berkelulusan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (LLB. Hons), Universiti Malaya pada tahun 1986, telah memulakan kerjaya sebagai majistret di Teluk Intan, Perak pada 12 Julai 1986.

Anak kelahiran Kampong Gajah, Perak, Abdul Razak pernah memegang beberapa jawatan di Jabatan Peguam Negara termasuk Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Pengarah Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah KDN pada 1 Sept 2016.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker