PRU-15 penentu hidup atau mati Bersatu

PRU-15 penentu hidup atau mati Bersatu

PRU-15 penentu hidup atau mati Bersatu
Peluang Bersatu untuk terus bertahan dalam gelanggang politik negara diragui sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan berundur selepas PRU-15.

MASA depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mencetuskan tanda tanya selepas prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bersatu yang menjadi tunjang Perikatan Nasional (PN) hanya menang dua daripada 15 kerusi yang ditandinginya di Melaka.



Prestasinya di Johor adalah jauh lebih teruk apabila seramai 31 dari 33 calonnya tewas.

Malah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenangi oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU-14 gagal dipertahankan oleh calon PN, Mohd. Solihan Badri.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman membayangkan keputusan PRN Melaka dan Johor menunjukkan Bersatu tidak diterima rakyat atas beberapa isu berkaitan parti itu.

“Asas perjuangan Bersatu juga tidak jelas, sama ada kerana kuasa atau dendam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette baru-baru ini.



Kebanyakan kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU-14 adalah hasil kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) melalui platform Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, peristiwa Langkah Sheraton menyaksikan Bersatu keluar dari pakatan itu dan seterusnya dihukum oleh penyokong-penyokong PH di Johor dan Melaka.

Berhubung jangkaan prestasi Bersatu pada PRU-15, Ismail melihat ia bergantung kepada kelompok atau blok yang disertai oleh Bersatu termasuk keupayaannya menggembleng parti-parti di luar Barisan Nasional (BN) di bawah gagasan ‘khemah besar’.

“Kalau bersama Pas, Bersatu ada potensi untuk menang beberapa kawasan pilihan raya di luar bandar. Mungkin di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kalau Bersatu membawa haluan sendiri, ia bakal berdepan masalah besar untuk mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.



Beliau berpandangan, Bersatu perlu ada kompromi dalam rundingan dengan parti-parti lain kerana jika bersendirian, parti itu dijangka tidak dapat bertahan lama.

Sekiranya kerjasama dengan parti-parti lain sebelum PRU-15 gagal, Ismail menjangka boleh berlaku ‘kompromi akhir’ selepas pilihan raya jika tiada mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah seperti apa yang berlaku sekarang.

Beliau membuat jangkaan itu dengan mengambil kira dasar perjuangan Bersatu yang berteraskan agama dan bangsa, sama seperti yang diperjuangkan oleh dua parti Melayu dan Islam terbesar iaitu UMNO dan Pas.

“Namun, UMNO tidak akan bersama Bersatu. PKR apatah lagi, ia ada kekuatan tersendiri dengan DAP dan Amanah,” jelasnya.

Ismail tidak menolak kemungkinan kerjasama saat akhir antara UMNO dan Pas melalui kerangka Muafakat Nasional (MN) akan menyebabkan Bersatu kehilangan salah satu sekutunya dalam PN.

“Saya tak hairan sekiranya Pas meninggalkan Bersatu,” katanya. Ketika ini, UMNO dan Pas dikatakan sedang berunding untuk mengelakkan pertembungan calon dari kedua-dua parti pada PRU-15.

Beliau melihat PRU-15 bakal menentukan hidup atau mati Bersatu di mana kelangsungan parti yang diasaskan secara bersama oleh Muhyiddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bergantung kepada keupayaannya mendapat tempat di hati pengundi.

Bersatu juga dikatakan berdepan masalah untuk mencari pengganti Muhyiddin sekiranya bekas Perdana Menteri itu mengundurkan diri dari pentas politik tanah air selepas PRU-15.

Siapakah yang mempunyai ketokohan menjadi pemimpin nombor satu Bersatu selepas Muhyiddin? Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu? Datuk Dr. Radzi Jidin?

“Yang saya nampak tiada tokoh lain. Aura mereka masih terselindung di bawah ketokohan Muhyiddin,” kata Ismail.

Tindakan bekas pemimpin-pemimpin seperti Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Willie Mongin keluar parti turut melemahkan Bersatu yang kini berdepan saat-saat getir menjelang PRU-15.

Pada peringkat negeri, selepas kehilangan Perak, Bersatu kini hanya menguasai Sabah. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Bersatu dilihat sebagai ikatan politik rapuh yang dijangka terungkai pada PRN akan datang.

Bersatu boleh dikatakan sedang berdepan dengan situasi ‘retak menanti belah’. Tidak mustahil senario politik negara pasca PRU-15 akan kembali memperlihatkan pertembungan dua pakatan politik yang besar iaitu antara Barisan Nasional (BN) dan PH sekiranya PN tidak lagi wujud setelah Bersatu tumbang. MG

PRU-15 penentu hidup atau mati Bersatu


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Neil Armstrong Jejak Kaki Ke Bulan ‘Dibuktikan’ Hanyalah Sebuah Rakaman

Guru lesap selepas disyaki rogol 2 pelajar di Sarawak

Berdakwah jangan pilih bulu – Ifa Raziah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker