Aishah Ilias masih membujang

Aishah Ilias masih membujang

PERNAH aktif mengorak langkah dalam karier lakonan pada 2012, nama pelakon Aishah Ilias tiba-tiba hilang daripada radar industri hiburan pada 2018 selama lima tahun demi fokus kepada urusan keluarga.

Masih hidup membujang hingga kini, Aishah, 37, membuat keputusan ‘menyepi diri’ itu bagi memberi semangat kepada kakaknya yang hamil anak sulung ketika berstatus balu akibat kematian suami.

Menurut pelakon drama Epilog Cinta Kirana dan Love You Mr Arrogant itu, dia seorang yang mengutamakan keluarga kerana hanya berdua dengan kakaknya dan tidak rasa terkilan langsung perlu undur diri pada ketika nama di puncak populariti.

“Saya tinggalkan karier seni pada masa nama dan bakat lakonan tengah meningkat sebab ketika itu drama lakonan saya adalah watak utama. Tapi, tiada apa yang dikesalkan di hati kerana ketenangan keluarga amat penting.

“Ibu dan kakak perlukan saya ada bersama mereka untuk kami saling memberi semangat ketika itu dan sekarang saya muncul dalam industri semula sebab rezeki masih ada dan anak saudara pun sudah bersekolah,” katanya.

Ditanya bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak berlakon, Aishah berkata, dia menggunakan wang simpanan termasuk berniaga sebagai ‘personal shopper’ barangan dari luar negara yang dibeli ketika pergi bercuti.

“Syukur Alhamdulillah, saya pernah berlakon drama Cinta Ibadah di Astro sebanyak 175 episod yang mana tempoh penggambarannya selama setahun lebih dan mendapat bayaran secara bulanan.

“Tiap-tiap hari ‘shooting’ dan bayaran diperoleh itu saya buat simpanan. Alhamdulillah, saya rajin simpan duit dan sebelum aktif berlakon pun, saya pernah bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat.

“Selain itu, saya juga suka berniaga dan kalau pergi bercuti ke luar negara mesti bawa balik barangan untuk dijual,” katanya mengakui ibu tersayang adalah penyokong utama dalam apa saja yang dilakukannya.

Aishah atau Siti Aishah Ilias berkata, dia pun bukan jenis individu yang boros berbelanja dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada berikutan keluarga juga tidak bersikap memilih dan cerewet dalam pemakanan.

“Kami sekeluarga amat bersederhana. Apatah lagi, sekiranya emak saya teringin hendak makan di luar, kami pergi bersama dan tidak kisah pun siapa yang bayar. Ada masa emak belanja, kemudian kakak dan saya sendiri,” katanya.

Berkat kerja keras dan suka menyimpan itu, Aishah akui dia mampu menarik nafas lega kerana sudah mempunyai aset peribadi sendiri seperti rumah dan kereta tanpa perlu bergantung kepada sesiapa dan selalu bersyukur dengan rezeki Allah.

Baru-baru ini, Aishah muncul membintangi drama Layang Layang Perkahwinan sebagai watak pembantu dan antagonis, Mariam. Siapa sangka menerusi drama itu, Aishah berjaya meningkatkan jumlah pengikut di Instagram sebanyak 30,000.

“Saya bukan orang yang aktif di media sosial kerana mempunyai kira-kira lebih 70,000 pengikut di Instagram. Tapi, dengan sambutan baik drama Layang Layang Perkahwinan dan watak Mariam, saya kini memiliki lebih 110,000 pengikut Instagram.

“Terima kasih saya ucapkan kepada penonton yang sokong Mariam walaupun akhirnya mati. Sekalipun mulanya orang tak suka sebab Mariam jahat, tapi ramai yang bersimpati dengan kesudahan nasibnya,” katanya.

Antara drama lain pernah dilakonkan Aishah ialah Nasi Minyak Kuah Cinta, Meh Sandar Pada Aku, Cik Serba Tahu, Jodoh Itu Milik Kita, Jangan Ikut Aku, Masih Ada Rindu dan Bukan Syurga Pilihan.


Pasang surut anak seni

Memahami perjalanan kehidupan umpama roda, Aishah mengakui dia perlu sentiasa bersikap terbuka dan positif menerima kisah hidup seorang anak seni yang ada pasang surutnya.

Katanya, dia juga tidak berasa melakonkan watak pembantu dalam drama umpama ‘turun darjat’ sebagai teraju utama kerana apa yang paling penting bagaimana sesuatu itu dicorak dan direalisasikan.

“Saya tahu kita dalam karier seni ini ada naik dan turunnya. Ditambah sekarang dah ada begitu ramai pelakon baharu berbakat. Jadi, kita kena terima putaran kehidupan itu.

“Macam saya sekarang bermula dari bawah kembali. Kalau dulu ‘job’ pertama saya jadi pelakon terus dapat watak utama sebagai heroin dan kalau masih ada peluang saya teringin nak jadi macam dulu lagi,” katanya.

Berbicara mengenai watak pembantu itu, Aishah memberitahu dia lebih tenang dan selesa kerana mempunyai banyak masa untuk memahami karakter dibawa serta menghafal skrip.

“Watak pembantu umpama ‘turun darjat’, saya tak rasa macam itu sebab perkara ini adalah biasa berlaku dalam industri. Saya selesa sebenarnya dengan watak pembantu kerana dulu ketika dalam Cinta Ibadah, saya bawakan dua watak sekali gus.

“Hari-hari ‘shooting’ dan balik sekitar jam 3 pagi. Esoknya, jam 9 pagi dah mula penggambaran, jadi dengan dua watak itu sangat memenatkan. Sekarang saya lebih tenang berlakon watak pembantu pada umur begini (melewati 30-an),” katanya. HM

Aishah Ilias masih membujang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas isteri Safee Sali dedah cerita sebenar

Mia Khalifa gaduh dengan Makcik Israel

Saya dah pindah ke Mongolia – Abby Abadi

Farhash rakan perniagaan Sultan Muhammad V

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker